Cuti Raya bangkitkan The Gadys

BIARPUN teruk dikritik selepas insiden nyanyian sumbang, kumpulan The Gadys tidak patah semangat untuk kembali bangkit.

Ini terbukti apabila mereka tampil dengan lagu Cuti Raya bagi memeriahkan sambutan Syawal tahun ini.

The Gadys yang dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan yakin single terbaharu itu mampu menjadi seleksi raya yang malar segar.

Menurut Aznie, Cuti Raya menceritakan tentang individu yang mahukan pelepasan kerja untuk menyambut lebaran bersama keluarga di kampung.

“Cuti Raya sebuah karya yang boleh dikaitkan dengan semua individu bekerja.

“Single ini lebih kepada gambaran emosi dan harapan untuk bercuti panjang.

“Dalam masa sama, lirik lagu ini menyentuh tentang keinginan mahu bergembira di hari raya dengan insan tersayang,” katanya.

Aznie turut memaklumkan mereka menyukai proses pembikinan lagu itu yang disifatkan santai dan memberikan pengalaman baharu.

“Proses rakaman lagu raya antara pengalaman yang menyeronokkan sebab kita boleh letak pelbagai emosi dalam setiap melodi dan nyanyian.

“Liriknya banyak juga diubah suai agar lebih kena dengan situasi semasa pendengar,” ujarnya.

Teruja

Sementara itu, Ayunie menzahirkan rasa syukur kerana rakaman lagu yang boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar ramai orang itu berjalan lancar.

“Ini pengalaman pertama kami merakamkan lagu raya. Apa yang boleh saya simpulkan sangat menyeronokkan dan segala-galanya dipermudahkan.

“Setiap pihak memberi kerjasama yang baik, malah semasa rakaman kami sama-sama berkongsi idea.

“Kami sangat selesa bekerja dengan semua orang yang terbabit dalam penghasilan lagu ini,” tutur Ayunie.

Selain itu, Thamiera teruja berkongsi pengalaman berbuka puasa bersama pasukan produksi usai penggambaran video muzik.

“Alhamdulillah, penggambaran video muzik lancar. Saya tiba paling awal di lokasi iaitu pukul 6.30 pagi seperti yang diminta pihak produksi.

“Lepas habis bahagian saya, dapatlah saya tidur di bilik artis sementara menunggu Aznie dan Ayunie menyelesaikan bahagian mereka.

“Selepas penggambaran selesai, kami bersama-sama berbuka puasa dan bergegas ke lokasi terakhir.

“Pasukan produksi sangat profesional, kami seronok dan selesa bekerja dengan mereka,” kata Thamiera

Cuti Raya merupakan ciptaan bersama Ja’an, Mage dan Glowrush.

Dalam masa sama, Glowrush bergandingan bersama Adib Hussin selaku penerbit.

Lagu berkenaan sudah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 22 Mac lalu.

Video muzik Cuti Raya juga sudah dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi The Gadys pada 29 Mac lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok