MENGGAMBARKAN metafora kehidupan yang singkat, Berlian merupakan taruhan terbaharu penyanyi rap dan komposer, Joe Flizzow.
Berkolaborasi dengan bintang muda tempatan, Gard, nukilan tersebut juga menyaksikan penyatuan Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 45, dengan Din Tiger dan SonaOne.
Penerbitan Berlian juga antara usaha menarik minat pendengar selain memicu perdebatan sengit mengenai masa depan arena hip-hop di Malaysia.
Menurut Joe, proses pembikinan karya berkisar kehidupan tersebut dinikmati dengan sepenuh hati bermula daripada mencanai ilham sehingga kerja rakaman dijalankan.
“Pasukan kami merealisasikan semua proses penerbitan lagu Berlian ini hanya dalam tempoh sehari.
Saya menulis rangkap pertama pun tidak sampai satu jam dan kemudian terus capai mikrofon bagi kerja rakaman.
“Secara keseluruhan, dua baris pertama lagu disiapkan tidak sampai 30 minit. Ilham datang sepantas kilat,” katanya.
Kongsi penyanyi rap yang diberi julukan Mr. Presiden tu, penampilan pelakon, Sazzy Falak juga sebagai bonus yang menguatkan jalan cerita video muzik (MV) lagu tersebut.
“Seperti metafora yang cuba saya gambarkan, setiap perincian naskhah ini saya pastikan menepati kisah yang mahu disampaikan.
Biarpun dihasilkan dalam tempoh yang boleh dikatakan agak cepat, saya tidak berkompromi dari segi kualiti.
“Malah, penerbitan muzik video Berlian juga dipastikan menepati keseluruhan penceritaan dengan Sazzy Falak sebagai bintang utama,” ujarnya.
Menaruh keyakinan tinggi terhadap sambutan pendengar, Joe percaya single terbaharunya itu akan diterima baik peminat serta pencinta muzik.
Sekitar Julai tahun lalu, Berlian telah dipersembahkan kepada khalayak buat julung kali pada konsert This Is Johan Live In Concert yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya. – HIBGLAM