Bella tak sesuai duduk dengan mentua dari neraka – Rita Rudaini

TIDAK berhenti menyuntik semangat kepada Bella Astillah yang masih berdepan kemelut rumah tangga, pelakon Rita Rudaini mengingatkan isteri Aliff Aziz itu agar meninggalkan persekitaran toksik.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 47, berkata, situasi ibu kepada dua anak itu sama seperti dilaluinya apabila dicurangi, namun suami enggan melepaskannya yang disyaki sebagai sebahagian daripada taktik licik.

“Lawak, sis (saya) sudah lalui semua benda ini dulu. Dah curang, dah salah selepas itu tak nak cerai sebab ada ‘game’.

Inilah famili toksik. Tak payahlah Bella, nanti tak pasal dapat penyakit. Awak tak sesuai duduk dalam keluarga dengan mentua dari neraka ini.

“Nanti mental awak yang rosak macam mereka. Sudah Bella, keluarlah. Allah ada sediakan jalan untuk awak sebab Allah ada perancangan yang lebih baik,” katanya dalam hantaran Instagram Story.

Rita dalam perkongsian sama turut menegur golongan ibu mentua supaya jangan bersekongkol dalam menyulitkan kehidupan menantu.

“Mak mentua pun sama, hang (kamu) tak suka, nasihatkanlah anak kesayangan suruh cerai. Bawa balik anak simpan dalam ‘frame’ elok-elok,” ujarnya.

Rita membuat kenyataan itu dipercayai selepas Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, mendedahkan sikap sebenar ibu mentuanya.

Wanita terbabit didakwa kerap memburukkannya biarpun sering mempamerkan imej Islamik dalam media sosial.

Dalam hantaran lain, ibu tunggal itu juga berkongsi posting mengenai karma tujuh keturunan yang menyebut mengenai janji Allah buat hamba-Nya yang disakiti individu lain.

Luahnya, insan terbabit akan menyaksikan karma yang bakal berlaku sekiranya umur mereka panjang.

Insya-Allah kalau diizinkan, diberi umur yang panjang. Kita akan menyaksikan segalanya. Janji Allah itu pasti,” katanya tanpa memperincikan kenyataan tersebut.

Semalam, Aliff membuat kejutan apabila enggan melafazkan talak terhadap Bella di Mahkamah Rendah Syariah walaupun menurut Bella perkara tersebut telah dipersetujui sejak awal tuntutan dibuat.

Pada 13 Mac lalu, Bella memfailkan perceraian secara ekspres tetapi Aliff tidak muncul pada hari perbicaraan atas alasan terikat dengan penggambaran drama.

Pasangan itu pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh idah.

Pada 9  Mac lalu, rumah tangga pasangan terbabit sekali lagi menjadi topik hangat apabila Aliff didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah.

Lebih hangat apabila selebriti asal Singapura itu yang juga bapa kepada dua anak didedahkan pernah berselingkuh dengan adik Bella sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok