ANUGERAH Seni Boh Cameronian (BCAA) yang memasuki edisi ke-19 menyaksikan penyertaan 74 buah produksi dengan 37 kategori muzik, muzikal dan teater.
Seiring kematangan, majlis pengiktirafan seni yang menuju dua dekad penganjuran tersebut kini fokus menyerlahkan kematangan dan kreativiti setiap pasukan produksi dalam penjurian setiap kategori.
Selaku penganjur, Kakiseni melihat banyak kelainan yang cuba ditampilkan calon dalam karya yang dipersembahkan sepanjang tahun lalu.
Presidennya, Low Ngai Yuen berkata, persembahan peserta tahun lepas banyak menonjolkan keunikan kisah dan pengalaman sendiri.
“Daripada proses penilaian, kami lihat banyak perubahan dalam persembahan karya pada 2023 dengan lebih banyak naskhah menonjolkan pengalaman calon.
“Sebelum ini mereka berasakan cerita mereka tidak penting untuk dibawa ke pentas tetapi kini kita lihat artis dan penulis memahami kisah peribadi juga perlu disampaikan kepada khalayak,” katanya pada majlis pengumuman pencalonan edisi ke-19 BCAA, baru-baru ini.
Antara kategori yang dipertandingkan tahun ini termasuklah rekaan kostum, penataan gaya, solekan, rekaan tatacahaya, muzik, rekaan bunyi, set atau rekaan visual terbaik. Tidak ketinggalan, kategori persembahan terbaik untuk watak pembantu, persembahan terbaik untuk watak utama dan pengarah terbaik dipertandingkan.
Berdasarkan senarai pencalonan, sub-sub kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater sebenarnya banyak dimonopoli karya yang sama.
Misalnya, karya produksi Melur The Musical, Spooks, The Musical dan Once On This Island lebih banyak mendominasi pencalonan kategori teater muzikal.
Menurut Yuen, produksi yang banyak mengungguli sub kategori tidak menjanjikan mereka akan lolos ke kategori paling unggul iaitu Best Of Category 2023 iaitu senarai akhir bagi karya terbaik tarian, muzik, teater muzikal dan teater.
Tema raikan kreativiti
Mengenai tema penganjuran tahun ini yang berbunyi Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan, kata Yuen, mesej yang mahu disampaikan adalah meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.
“Dari yang biasa kepada yang luar biasa, pengalaman hidup kami berfungsi sebagai ‘muse ultimate’ untuk inovasi dan imaginasi secara menyeluruh.
“Kami ingin mengiktiraf serta memberi penghormatan kepada kuasa transformatif seni serta kekayaan dan kerumitan pengalaman manusia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo berkata, penganjuran BCAA adalah sesuatu yang istimewa kepada jenama berkenaan bertepatan dengan ulang tahun ke-95 produk kebanggaan negara itu.
“Jika diimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dan memajukan industri seni persembahan.
“Kedua-duanya memerlukan semangat yang tidak putus-putus dengan kecintaan kuat, dedikasi dan komitmen untuk menguasai seni masing-masing,” ujarnya.
Malam kemuncak BCAA19 dijadualkan berlangsung pada 5 Mei ini, manakala senarai penuh pencalonan BCAA19 boleh dilayari menerusi pautan www.kakiseni.org/awards.
Antara naskhah hebat yang bertanding kali ini termasuklah A Hen-Made Tale, Melur The Musical, Once On This Island, Dondang Dongeng, Fault Lines, PSYCHOSYNTHESIS, Malam Takdir dan Switchblade Operation: The Longing.