WALAU nekad mahu bercerai, penyanyi Adira tetap memberikan sokongan terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu yang sudah mula bekerja dan berniaga secara kecil-kecilan.
Pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 32, itu tidak lokek membantu mempromosikan biskut jualan Adnan atau dikenali sebagai Datuk Red dalam Instagramnya yang mempunyai 1.8 juta pengikut.
Kita sokong Datuk Red jual biskut raya. Esok (hari ini) boleh dapat di ‘beg kuning’,” tulisnya pada keterangan video dalam Instagram.
Menerusi video berdurasi seminit itu, Adira yang juga ibu kepada empat cahaya mata ditemani anak sulung, Anggrek, menyatakan suaminya kini bergelar peniaga biskut raya.
Malah dalam hantaran sama, Adira sempat bergurau dengan memuji Datuk Red kelihatan masih kacak di matanya.
Sebelum ini lelaki yang mempunyai 11 anak daripada tiga perkahwinan itu mendedahkan sudah lima tahun ditanggung dua isteri kerana muflis sehingga sukar mendapat pekerjaan.
Datuk Red kemudian membuat video dalam aplikasi TikTok sebagai usaha terakhir mencari pekerjaan untuk menyara keluarga dan melangsaikan hutang.
Rayuan terbukanya meraih perhatian pelbagai syarikat yang menawarkannya pekerjaan termasuk sebagai model baju Melayu jenama terkemuka. – HIBGLAM