KEHEBATANNYA menjayakan watak Asisten Superintendan (ASP) Shazlin dalam filem Sheriff: Narko Intergriti meraih pujian ramai.
Tidak hanya penonton memberi sorakan, namun Azira Shafinaz turut melahirkan rasa bangga dengan tahap lakonannya ketika ini.
Bukan meninggi diri, aktres berusia 33 tahun itu sebaliknya terharu dengan peningkatan mutu lakonan yang diberikan untuk filem Sheriff.
Malah, ini juga kali pertama dia membarisi filem bergenre aksi dan kepolisan.
Kesempatan HibGlam bertemu dengannya pada majlis tayangan perdana filem Sheriff baru-baru ini, mengungkap cabaran dan perjuangan seni dilalui pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan itu.
HIBGLAM: Boleh anda kongsikan tentang penglibatan dan apa perasaan melihat tahap lakonan sensiri dalam Sheriff?
AZIRA: Ini adalah filem aksi dan kepolisan pertama saya.
Sejujurnya selepas saya menonton keseluruhan, saya amat berbangga dengan segala usaha dan penat lelah yang saya berikan selama berbulan-bulan untuk Sheriff.
HIBGLAM: Apa antara yang buat anda tertarik menerima tawaran untuk jayakan watak ASP Shazlin?
AZIRA: Kalau ikutkan, saya tidak banyak terlibat dengan babak aksi tetapi teruja kerana ini filem beruniform pertama saya. Kalau nak tahu, cita-cita semasa kecil dulu adalah untuk menjadi anggota polis. Rasa sangat bangga apabila dapat sarung pakaian seragam polis. Saya juga melakukan sendiri babak aksi seperti melompat atau berguling sebab tidak sukar, malah tak akan serik untuk melakonkan naskhah bergenre sebegini lagi.
HIBGLAM: Prestasi anda dalam beberapa buah drama dan filem sebelum ini sangat membanggakan sehingga pernah memenangi anugerah di peringkat Asia. Tidakkah mempunyai impian untuk pegang trofi dalam negara sendiri?
AZIRA: Semua tawaran dan pengiktirafan berbalik kepada rezeki. Saya lihat semuanya dari sudut positif.
Kalau ada rezeki dengan filem Sheriff, saya terima anugerah di Malaysia pula, namun kalau tidak dapat pun, saya tak kisah.
HIBGLAM: Terdapat khabar angin bakat anda sudah mula membuka mata produksi luar negara sehingga disunting untuk membintangi naskhah di China. Boleh kongsi secara terperinci?
AZIRA: Alhamdulillah ini semua rezeki dan orang nampak bakat saya.
Kalau Azira Shafinaz ada dua, saya mungkin tidak fikir panjang untuk terima tawaran tersebut.
Sehingga kini tawaran tersebut masih di peringkat perbincangan dan tiada kata putus disebabkan kekangan masa.
Saya pun bukan muda lagi dan tidak boleh paksa diri kerja terlalu keras kerana tenaga itu sudah berbeza.
HIBGLAM: Topik berbeza, sebagai antara penyanyi berkumpulan, adakah anda terkesan dan terkejut melihat kumpulan Dolla yang kini kehilangan salah seorang ahlinya, Syasya?
AZIRA: Bagi saya, bertiga atau berempat, Dolla tetap mempunyai pakej lengkap termasuk paras rupa, tarian yang hebat dan lagu-lagu mereka yang cukup berkualiti. Ketiadaan Syasya satu kehilangan besar tetapi saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh.
Nak ulas lebih pun tak berani sebab saya sendiri pun tak tahu sampai bila saya akan terus bersama dengan kumpulan De Fam. Apa pun, kita doakan yang terbaik untuk Dolla dan Syasya, masing-masing mempunyai pilihan hidup sendiri. – HIBGLAM