Hampir empat dekad penyanyi yang juga vokalis kumpulan rock terkenal Wings, Datuk Awie menghambakan kehidupannya di atas pentas dan dunia glamor.
Konsert demi konsert dan populariti yang tidak pernah pudar, namun tiada siapa menyangka Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56, kehilangan sesuatu yang sangat berharga iaitu kehidupan normal.
Enggan terlepas untuk menikmati kehidupan seperti orang lain, Awie membuat keputusan nekad untuk berehat daripada menjadi vokalis kumpulan Wings dalam tempoh sembilan tahun akan datang.
Menurut Awie, kesibukan kerja sebagai penyanyi dan pelakon menyebabkan beliau terlepas banyak momen istimewa bersama anak-anak.
“Anak ada program di universiti dan asrama, saya tidak dapat hadir kerana setiap minggu saya akan keluar menyanyi.
“Anak yang kecil ada konsert tadika, saya tidak dapat datang kerana saya pun sibuk buat konsert. Ketika bulan Ramadan, orang lain dapat berbuka bersama keluarga, saya pula di dalam hutan di Kuala Kangsar, Perak sibuk dengan penggambaran filem.
“Saya tidak dapat rasa apa yang bapa lain nikmati bersama anak mereka. Kehidupan saya memang menyedihkan,” luah Awie sedikit beremosi.
Tambah bapa kepada enam cahaya mata itu, sudah terlalu banyak pengorbanan dan pencapaian yang dilakukan selama hampir empat dekad bersama kumpulan Wings.
Lantas, tiada apa lagi yang ingin dikejar selain menjalani kehidupan tenang bersama keluarga.
“Saya menyanyi sejak muda, jadi saya tidak dapat menikmati sepenuhnya zaman remaja dan dewasa. Saya dan anggota
Wings ‘duduk’ di atas pentas selama hampir 40 tahun. Itu tempoh yang sangat lama.
“Bahkan saya juga terpaksa berkorban banyak dengan menolak nikmat rezeki makanan selama puluhan tahun.
“Saya tidak boleh sentuh durian dan banyak makanan lain demi menjaga tenaga dan kualiti suara demi reputasi karier.
“Tidur harus cukup. Banyak pantang larang yang harus dijaga sampai saya rasa tidak ‘enjoy’ apabila bersama keluarga,” luah Awie.
Bukan bersara
Bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu bagaimanapun bertegas, keputusan untuk berehat bukan bermakna beliau bersara daripada dunia hiburan.
Sebaliknya, suami kepada Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin itu hanya mahu memperlahankan kerjaya seni dan fokus terhadap perniagaan dan Rumah Produksi Merah.
“Bagi saya cukup-cukuplah, sudah sampai masa untuk saya melihat dunia. Saya mahu ada masa untuk membina empayar perniagaan.
“Saya juga mahu menjaga rumah produksi yang dibangunkan dan jika ada watak-watak sesuai, sesekali saya akan berlakon.
“Mungkin saya akan menjadi pengarah mahupun penerbit.
“Tidaklah bersara terus kerana dunia hiburan masih menjadi lapangan saya mencari rezeki cuma kurangkan bekerja di hadapan khalayak, lebih kepada belakang tabir,” ujar Awie yang bakal menimang cahaya mata ketujuh tidak lama lagi.
Sambung Awie lagi, keputusannya turut mendapat ‘restu’ daripada semua anggota kumpulan Wings dan tiada sebarang isu berbangkit berhubung kelangsungan hidup kumpulan rock gergasi itu.
“Saya ada tempoh sembilan tahun lagi untuk bersama Wings. Masih lama dan kami semua tiada masalah apabila sampai masanya saya berehat. Anggota yang lain masih mahu meneruskan Wings.
“Jika mereka mahu mencari vokalis baharu, saya tiada masalah. Kami semua sedar, mencari pelapis bukan sahaja untuk vokalis tetapi posisi lain pada masa depan adalah tidak mudah.
“Kalau betul ada sebuah band lain yang hadir dengan pakej lengkap dan sesuai untuk meneruskan legasi Wings, mungkin kami akan fikirkan.
“Tetapi buat masa ini belum terfikir lagi,” kata Awie yang ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.