BUAT pertama kalinya dalam tempoh sembilan tahun, penyanyi Datuk Awie bakal meraikan lebaran bersama enam anaknya.
Kata Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, doanya untuk beraya dengan dua anak, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Putri Qasseh Antasha, 14, yang berada dalam jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun termakbul.
“Dalam tempoh sembilan tahun ini kali pertama saya dapat beraya dengan semua anak-anak. Selalu setiap tahun apabila raya saya akan keluar bercuti.
“Tetapi tahun ini istimewa, disebabkan semua anak-anak ada bersama, saya akan duduk di rumah sahaja dan menunggu rakan-rakan dan saudara-mara datang beraya,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Awie Journey yang akan diadakan pada 3 Ogos di WTC Kuala Lumpur.
Tambah bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu lagi, isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 35, yang mengusahakan pertemuannya bersama anak-anak.
“Syukur tahun ini saya dapat beraya dengan semua anak-anak. Ini adalah usaha yang dilakukan isteri saya.
“Jadilah, dapat anak-anak dalam masa beberapa hari. Saya mahu belikan baju dan persiapan raya mereka.
“Saya hanya sempat beraya seminggu sahaja, kemudian saya akan terbang ke Belanda untuk penggambaran filem,” kata Awie yang baru sahaja selesai penggambaran filem Hantu Lompat Di Kampung Pisang.
Tahun lalu, Awie buat pertama kali juga dapat bercuti bersama kesemua anak daripada tiga perkahwinan dalam satu aktiviti percutian selepas Hari Raya Aidiladha yang turut disertai isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.
Menerusi perkahwinan pertama dengan penyanyi Arni Nazira, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, sebelum bercerai pada 2006.
Dalam perkahwinan keduanya bersama Rozana Misbun, Awie memiliki tiga anak, Putra Ahmad Merrah, 17, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Putri Qasseh Antasha 14. Mereka bercerai pada 2014.
Sementara itu, menerusi perkahwinan ketiganya bersama Datin Sharifah Ladyana, 35, Awie dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Putra Ahmad Andeeka, 3, dan bakal menimang cahaya mata ketujuh kerana isterinya kini hamil lima bulan. – HIBGLAM