Saya anggap beliau (Allahyarham Jaafan Onn) seperti bapa sendiri.”
Demikian luahan pelakon Datin Anne Naszriah Ngasri, 40, yang turut berdukacita dengan pemergian selebriti versatil tanah air, Allahyarham Jaafar Onn.
Kata Anne yang sebelum ini pernah berkerjasama dengan Allahyarham menerusi sitkom ikonik, Cili Padi, pemergian pelakon itu adalah satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.
“Gambar terakhir kita tempoh hari di hospital.
Harapan Anne untuk berjumpa papa balik (sesudah ibadah umrah) nanti tidak kesampaian, Allah lebih sayangkan papa, pergimu di bulan yang baik” luah Anne seraya berkongsi untaian foto dalam Instagram.
Anne turut menyifatkan Allahyarham seorang yang pemurah dan tidak berkira untuk berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
“Kalau di set penggambaran beliau selalu belikan Anne cokelat, hadiah dan jaga saya macam anak sendiri.
Terlalu banyak kenangan bersama dengan insan bernama Jaafar Onn. Saya membesar di set bersamanya.
“Papa insan seni hebat dan terlalu baik. Saya akan selalu doakan papa bahagia di sisi Allah SWT,” ujar Anne lagi.
Anne terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi Allahyarham berikutan sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.
Terdahulu, Allahyarham Jaafar, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor, sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.
Allahyarham Jaafar sebelum ini mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu. – HIBGLAM