MAHU memudahkan urusan, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz akan memberi sepenuh komitmen terhadap kes dicekup berkhalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac lalu.
Ujar Aliff atau nama lengkapnya Muhammad Aliff Aziz, 33, ketika ini mereka masih lagi mengikuti beberapa prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Perkara terbabit menyebabkan pelantun lagu Sayang Sayang itu enggan mengulas lebih lanjut memandangkan semua butiran masih dalam siasatan.
“Saya tiada apa nak ulas cuma sekarang kami akur dengan semua proses dan prosedur seperti mana yang digariskan pihak berkaitan.
“Jadi kami akan selesaikan perkara tersebut apabila tiba masanya, insya-Allah,” katanya kepada HibGlam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas sebutan kedua kes cerai talak, hari ini.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas juara Gegar Vaganza musim kelapan ituditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.
Bagaimanapun sebutan pertama kes cerai itu terpaksa ditangguh susulan ketidakhadiran Aliff yang terikat dengan penggambaran drama Terjerat.
Aliff juga enggan melafazkan cerai ketika prosiding dihadapan Hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Mahkamah menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Bella dan Aliff yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – HIBGLAM