MENCETUSKAN fenomena sehingga meraih 17 juta tontonan dalam tempoh sebulan, lagu Alamak Raya Lagi! nyanyian De Fam dilihat membantu kanak-kanak menghadapi masalah pertuturan atau ‘speech delay’.
Perkara tersebut dikongsi seorang ibu yang meluahkan perasaan teruja apabila anaknya yang berhadapan kelewatan bercakap boleh menyanyikan lagu tersebut.
Wanita itu bersyukur kerana lagu Alamak Raya! telah membuatkan anaknya itu mahu membuka mulut dengan mengikut bait seni kata dendangan tersebut walaupun kurang lancar.
Satu-satunya lagu anak saya yang ‘speech delay’ boleh ikut menyanyi walaupun dia sebut hujung-hujung sikit sahaja tapi sudah cukup buat kami gembira.
“Terima kasih untuk lagu itu,” katanya yang berkongsi kegembiraan di ruangan komen Facebook sebuah portal hiburan.
Sebelum ini dalam pada keterujaan ramai terhadap lagu raya pertama Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana itu, terdapat segelintir pihak mengkritik pemilihan perkataan ‘alamak’.
Frasa tersebut disifatkan seolah-olah pencipta dan kumpulan terbabit menunjukkan seperti tidak gembira menyambut Aidilfitri.
Begitupun, Azira mewakili dua rakannya berpendapat lirik single Alamak Raya Lagi! tidak membawa maksud negatif seperti didakwa sesetengah pihak iaitu mencarut.
Pada masa sama, ‘demam’ lagu berkenaan juga tular sehingga luar negara apabila ramai artis dan peminat menjadikannya sebagai latar video dalam platform TikTok.
Antaranya adalah artis K-pop, TRI.BE selain kumpulan wanita Jepun, Avantgardey, pelakon dan juga penyanyi Thailand iaitu Gam Wichayanee serta ramai lagi pemilik akaun TikTok termasuk di India dan China. – HIBGLAM