Aisha Retno rindukan suasana Syawal di Jakarta

MENIKMATI suasana berhari raya di dua negara, Indonesia bersama keluarga belah ibu dan Malaysia (keluarga bapa) memberi pengalaman istimewa buat penyanyi, Aisha Retno.

Kongsi penyanyi dan komposer berusia 23 tahun itu,  memandangkan mereka menetap di Kuala Lumpur (KL), sudah menjadi rutinnya sejak kecil meraikan Syawal bersama keluarga ibunya di Jakarta terlebih dahulu.

Kehadiran Aidilfitri menjadi saat yang sentiasa dinantikan untuk berkumpul bersama saudara-mara di sana.

Baginya, melihat bonda tercinta yang juga penyanyi, Jean Retno Aryani dapat melepaskan rindu bersama keluarga di Jakarta Selatan sudah cukup membahagiakan.

“Adik-beradik saya cuma dua orang, jadi apabila dapat berhimpun dengan ramai sepupu yang hampir sebaya dengan kami, suasana cukup gamat.

“Maklumlah kami dapat pulang sesekali sahaja dalam setahun membuatkan peluang berhari raya di sana sentiasa ditunggu-tunggu.

“Suasana sambutan Aidilfitri di Malaysia dan Indonesia ada persamaan, cuma auranya sedikit berbeza. 

“Apa pun percampuran budaya ini  amat unik dalam sambutan raya kami, ” katanya kepada HibGlam.

MEI depan Aisha bakal beraksi dalam Festival Java Jazz, sekali gus mengambil peluang bertemu saudara-mara kerana tidak pulang beraya di Jakarta tahun ini.

Disebabkan ramai dalam kalangan ahli keluarga sebelah ibunya sudah pergi menghadap Ilahi, sejak 2017 hingga kini, Aisha dan keluarga hanya menyambut hari raya di KL.

“Sebenarnya rindu nak raikan lebaran di sana. Dahulu, kalau pulang ke kampung mama (panggilan untuk ibu) selama seminggu pun rasa tak puas, kalau boleh nak cuti dua minggu tapi sebab bersekolah, saya terpaksa pulang ke Malaysia.

“Mama pula biasanya akan tinggal lebih lama kadangkala sampai sebulan, tapi sekarang kami dah tak balik menyambut raya di sana sebab ahli keluarga mama ramai sudah tiada. 

“Kami masih pulang, cuma bukan pada musim perayaan. Contohnya macam Mei nanti saya akan terbabit dengan persembahan di Java Jazz, jadi kesempatan itu kami gunakan untuk ziarah sanak saudara,” ujarnya.

Berkongsi beza kemeriahan sambutan Syawal antara Malaysia dan Indonesia, Aisha berasakan suasana raya di Malaysia lebih meriah di sini berbanding di Indonesia kerana masyarakat di sana lebih meraikan  Ramadan.

“Kalau cakap pasal kemeriahan, memang di sini jauh lebih meriah berbanding sana memandangkan  Indonesia lebih meraikan kehadiran puasa, jadi sambutan Ramadan  lebih meriah berbanding Syawal.

“Tapi kalau bercakap soal juadah yang menjadi kegemaran, saya ‘hantu’ makanan yang pedas terutama masakan tradisi Indonesia.

“Di sini  pun banyak juadah menyelerakan tapi untuk pagi raya saya sukakan rendang tetapi kenalah lebih pedas,” katanya.

Pada sambutan lebaran kali ini, pelantun lagu Sutera yang berhari raya di KL itu juga tidak menetapkan tempoh bercuti kerana semua perancangan bergantung kepada undangan kerja.

“Saya ada di sini sahaja, jadi tahun ini tak pasti boleh cuti berapa lama, kadang-kadang ada penganjur hubungi pada saat akhir untuk buat persembahan di rumah terbuka.

“Tengok nanti macam mana, namun paling penting hari raya kita dapat cium tangan ibu bapa, datuk nenek dan pak cik mak cik serta menziarahi satu sama lain,” ujar penyanyi Ketipak Ketipung Raya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok