SELEPAS mencetuskan fenomena dalam dunia penyiaran radio tanah air dan terbaharu ‘mengikat’ janji dengan penerbit Erma Fatima, nama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin atau KJ terus meniti di bibir ramai wanita.
Tidak terkecuali pengacara dan pelakon Adriana Adnan yang mendambakan berdampingan dengan Khairy, 48, yang disifatkan mempunyai karisma tersendiri sebagai tetamu jemputan audio siar atau podcast kendaliannya, Ruang Terbuka.
Dream guest (tetamu jemputan) yang sangat-sangat saya ingin jemput dalam Ruang Terbuka adalah KJ.
“Mana tahu Ruang Terbuka featuring Keluar Sekejap (podcast kendalian KJ dan Shahril Hamdan). Kita boleh berangan-angan,” katanya kepada HibGlam pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Multimedia Entertainment baru-baru ini.
Menurut bekas pengacara program Hlive itu lagi, kalau politik digabungkan dengan dunia hiburan, itu satu nilai tambah buat dunia penerbitan podcast yang kian berkembang sekarang.
Bercerita tetang politik dan kita gabungkan dengan show biz (dunia hiburan) pasti menarik.
“KJ pun sekarang dah jadi figura terkenal atau selebriti. Jadi, saya memang teringin nak dengar cerita KJ,” jelasnya lagi.
Ruang Terbuka merupakan podcast kendalian dan diterbitkan Adriana sendiri dengan kerjasama FYP Entertainment yang mula bersiaran Mac lalu.
Baru-baru ini, KJ yang merupakan penyampai radio Hot FM bersetuju berlakon di bawah karya arahan atau terbitan Erma Fatima untuk projek drama akan datang. – HIBGLAM