5 kumpulan K-pop tawan pentas Coachella

TERKENAL sebagai satu festival muzik tahunan terbesar di Amerika Syarikat, ramai artis antarabangsa memasang impian menggegarkan pentas Coachella.

Sejak akhir-akhir ini, ramai kumpulan K-pop diberi peluang untuk mempamerkan bakat mereka kepada dunia.

Malangnya, tidak semua kumpulan berjaya menarik perhatian orang ramai sepanjang persembahan mereka.

Disebabkan isu tular dua kumpulan K-pop baru-baru ini di festival tersebut, Daebak merangkumkan beberapa bintang Korea pernah menggegarkan pentas Coachella.

Blackpink

ANTARA kumpulan yang sering menjadi topik hangat dalam sejarah Coachella ialah Blackpink.

Malah, mereka yang terdiri daripada Lisa, Jennie, Jisoo dan Rose juga merupakan kumpulan wanita K-pop pertama yang berjaya tampil di pentas festival muzik terbesar pada 2022.

Pengunjung yang tidak biasa dengan muzik K-pop serta-merta menjadi peminat apabila menyaksikan persembahan Blackpink.

Aksi mereka tidak dapat dilupakan lebih-lebih lagi dengan lagu hits mereka iaitu Ddu-Du Ddu-Du dan As If It’s Your Last.

2NE1

PADA tahun 2022, keempat-empat ahli kumpulan 2NE1 bersatu semula untuk membuat persembahan di Coachella.

Mereka mengejutkan penonton dengan persembahan lagu I Am The Best lebih-lebih lagi bahagian rap. Rata-rata peminat seperti terkena histeria apabila saling berteriakan sepanjang mereka membuat persembahan istimewa tersebut.

Biarpun sudah bertahun-tahun kumpulan wanita itu tidak membuat persembahan, mereka masih mengingati koreografi sekali gus melepaskan rindu peminat.

Aespa

KUMPULAN Aespa debut di Coachella pada tahun 2022. Itu bukan sahaja persembahan pertama mereka di hadapan lautan penonton secara langsung tetapi aksi mereka secara keseluruhan.

Hal ini kerana, kumpulan yang disertai empat wanita itu memulakan kerjaya semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan tidak berpeluang tampil di hadapan peminat. Meski mereka tidak mempunyai pengalaman berada di pentas besar, kesemua ahli memberikan yang terbaik sepanjang menghiburkan semua orang di festival tersebut.

Ateez

SATU-SATUNYA kumpulan lelaki K-pop yang berjaya membuat penampilan di pentas Coachella ialah Ateez.

Kesemua ahli Ateez memberikan persembahan yang terbaik semasa festival muzik terbesar pada tahun ini. Bukan sahaja bertenaga, mereka juga tular kerana mempamerkan vokal yang sangat cemerlang.

Le Sserafim

TAHUN ini, kumpulan Le Sserafim buat pertama kalinya berjaya menempatkan diri di pentas Coachella.

Biarpun dipuji dengan menonjolkan persembahan luar biasa, tetapi kesemua penyanyi itu dikritik kerana vokal yang lemah.

Rata-rata berpendapat, kumpulan wanita itu ‘kantoi’ menyanyi secara live.

Ada juga yang mengatakan kelima-lima penyanyi itu kehilangan tenaga semasa di pertengahan persembahan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok