4 selebriti Korea ditipu agensi

ISU kebajikan artis yang tidak dipedulikan syarikat rakaman mahupun agensi pengurusan bukan perkara baharu dalam industri hiburan global.

Lebih teruk, ada dalam kalangan syarikat pengurusan sengaja mengabaikan kebajikan artis naungan, bahkan sanggup memperdaya selebriti mereka demi mengaut keuntungan.

Begitu pun, ramai artis yang lantang memperjuangkan isu tersebut demi mendapatkan semula hak mereka.

Daebak minggu ini menamakan beberapa artis yang pernah menjadi mangsa helah dan ketamakan agensi.

Lee Seung-gi

Tahun lalu, Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan meluluskan rang undang-undang baharu memerlukan syarikat hiburan mendedahkan butiran pendapatan kepada artis naungan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas isu melibatkan pelakon dan penyanyi, Lee Seung-gi heboh diperkatakan November lalu.

Pelakon drama Vagabound itu mendedahkan tidak pernah dibayar agensinya Hook Entertainment untuk 137 buah lagu daripada 27 albumnya sepanjang 18 tahun bergelar artis rakaman syarikat berkenaan.

Alasan mereka, Seung-gi adalah penyanyi yang tidak membawa keuntungan dan masih belum mempunyai pendapatan mencukupi untuk menerima bayaran royalti.

Laporan sebaliknya menganggarkan pendapatan muzik Seung-gi berjumlah hampir 9.6 bilion won (RM357 bilion).

Chuu

Pada 2021 penyanyi Chuu membuat pendedahan tidak mempunyai pendapatan sehingga langsung tiada wang untuk membeli makanan.

Agensinya pula, Blockberry Creative memaklumkan, pemilik nama lengkap Kim Ji-woo itu telah dibuang daripada kumpulan Loona atas dakwaan mendera petugas syarikat.

Peminat mengesyaki pihak agensi tersebut sengaja mereka situasi tersebut bagi menutup mulut Chuu.

Ada juga segelintir petugas syarikat dan artis lain turut menyokong Chuu dengan berkongsi pengalaman bersama Chuu yang selama ini tidak pernah mendatangkan masalah.

Song Ji-hyo

PELAKON Song Ji-hyo mendedahkan tidak mendapat bayaran pendapatan daripada agensinya iaitu Uzurock mengikut waktu yang tepat.

Enam bulan selepas menyertai agensi berkenaan pada Oktober 2022, dia nekad menamatkan kontrak eksklusif bersama Uzurock.

Peserta Running Man itu turut mendedahkan Uzurock bergelut masalah kewangan selain mempunyai saksi yang boleh membuktikan dakwaannya.

Pada mulanya Uzurock menyatakan pelakon itu tidak menamatkan kontrak, tetapi beberapa minit kemudian mereka mengakui perkara tersebut dan memohon maaf kerana tidak memberi perhatian terhadap butiran yang perlu diberikan kepada artis naungan mereka.

NOZE

PENARI Noze yang terkenal dengan penampilan dalam rancangan Street Woman Fighter membuat keputusan menyaman agensinya, Starting House pada Disember 2022.

Dia turut meminta hakim membatalkan kontraknya sehingga perbicaraan tamat.

Difahamkan, Starting House tidak melunaskan bayaran pendapatan sepatutnya kepada Noze dengan mendakwa akan mendepositkan bayaran tersebut selepas satu perbincangan diselesaikan.

Agensi tersebut juga mendakwa kontroversi media sosial Noze sebelum ini menyebabkan mereka terlalu sibuk sehingga tidak dapat mengendalikan kewangan sebaik-baiknya.

Setakat ini Starting House sudah bertemu Noze bagi menyelesaikan konflik secara baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok