4 bintang wanita Korea paling berpengaruh

ADA selebriti yang tidak suka berkongsi secara terbuka mengenai kehidupan peribadi dalam media sosial mereka.

Namun, terdapat sesetengah artis yang menjadikan Instagram sebagai diari, sekali gus medium menjalinkan hubungan rapat dengan peminat.

Sementelah peminat sememangnya mahu tahu setiap inci kehidupan artis yang mereka sanjungi.

Sehubungan itu, Daebak menyenaraikan artis wanita berpengaruh yang mempunyai pengikut paling ramai dalam Instagram.

IU (31.3 juta pengikut)

IU menduduki carta teratas dengan jumlah 31.3 juta pengikut.

Kandungan Instagramnya menawarkan gabungan hantaran peribadi dan profesional yang menampilkan sedutan video muzik, belakang tabir sesi fotografi, penggambaran drama dan momen bersama keluarga serta rakan baik.

IU bukan sahaja menguasai arena muzik dan fesyen, malah dilimpahi pujian menerusi penglibatannya dalam pelbagai drama dan filem.

IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun berjaya meletakkan dirinya sebagai bintang Korea paling popular era ini dan mendapat sokongan luar biasa kelab peminatnya.

Bae Suzy (19.8 juta pengikut)

KEMBARA seni Bae Suzy sebagai penyanyi kumpulan Cina-Korea iaitu Miss A membuatkan dirinya sangat popular sehingga meraih 19.8 juta pengikut.

Tidak hanya itu, dia juga mencipta rekod cemerlang dalam dunia lakonan sehingga dikenali seantero dunia.

Selain menjadi bintang Korea yang paling ramai pengikut dalam Instagram, Suzy turut mempunyai sebuah patung lilin di Madame Tussauds.

Patung tersebut dilancarkan pada 2016 di Hong Kong menjadikannya sebagai artis dari Korea yang pertama memiliki patung lilin.

Jung Ho-yeon (19.7 juta pengikut)

BEZA 1,000 pengikut dengan Bae Suzy menjadikan pelakon Jung Ho-yeon menduduki tempat ketiga sebagai selebriti paling berfpengaruh dengan 19.7 juta pengikut.

Sering berkongsi penglibatannya di pentas peragaan selain belakang tabir kempen jenama terkenal, dia melibatkan peminat dengan kandungan dinamiknya.

Persembahan mengagumkan dalam siri Netflix, Squid Game menjadikannya sebagai pelakon Korea Selatan paling banyak diikuti dalam Instagram pada tahun 2021 mengatasi Lee Sung-kyung dan Song Hye-kyo.

Song Hye-kyo (17 juta pengikut)

LEBIH dua dekad memahat nama dalam dunia hiburan, pelakon Song Hye-kyo mendominasi program Korea popular sehingga dapat mewakili pelbagai jenama mewah selain mendapat pengiktirafan global untuk wataknya dalam filem Netflix, The Glory.

Tidak hairan dia antara pelakon Korea paling mendapat perhatian, malah mempunyai 17 juta pengikut dalam Instagram. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok