PELAKON Puteri Aishah, 30, selamat melahirkan cahaya mata sulung pukul 8.17 malam tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan pengurusnya iaitu Iman Tang menerusi Instagram.
“Syukur, tahniah Puteri Aishah dan Firdaus Sulaiman. Selamat atas kehadiran anak lelaki pertama pada Khamis 4.4.2024 sekitar pukul 8.17 malam,” katanya.
Dalam masa sama, Iman turut memberitahu keadaan Aishah atau nama sebenarnya, Puteri Aishah Sulaiman berada dalam keadaan yang baik selain mendoakan kesejahteraan permata hati aktres itu.
“Bayi dan ibu sihat walafiat. Semoga si kecil kelak menjadi anak yang berbakti dan dapat membanggakan orang tuanya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Aishah turut dilihat mengulang semula (repos) hantaran Iman dalam Instagramnya.
Sebelum ini menurut laporan Kosmo! Online, bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu bersyukur semua alahan yang dialami sebelum ini lenyap apabila kandungan memasuki trimester ketiga bahkan semakin kuat dan aktif.
Pada Januari lalu, pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu mengumumkan khabar gembira dirinya sudah berbadan dua selepas hampir tiga tahun menanti.
Aishah mendirikan rumah tangga Firdaus yang juga ahli perniagaan pada 21 November 2021, selepas tiga tahun mengenali hati budi masing-masing. – HIBGLAM