PEJAM celik, sudah lebih empat tahun Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza membina kehidupan bahagia berumah tangga.
Setahun selepas bergelar suami isteri, mereka menimang cahaya mata sulung yang diberi nama Isaac Raees pada 5 Januari 2021 di Perth, Australia.
Tahun ini, Zahirah akan memikul tanggungjawab lebih besar apabila hamil anak kedua.
Biarpun sudah diketahui umum sejak Disember lalu, melirik ke arah pemilik nama lengkap Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 29, itu, terdetik rasa hampir tidak percaya bahawa wanita itu sedang hamil dan bakal menimang anak kedua Jun depan.
Masakan tidak, badannya tidak kelihatan seperti ibu hamil. Dia masih langsing meskipun sedang berbadan dua.
Lebih mengagumkan apabila pelakon Bulan & Pria Terhebat itu masih aktif bekerja walaupun kandungannya hampir memasuki trimester ketiga.
“Sekarang saya sudah enam bulan, nak masuk tujuh bulan mengandung dan masih bekerja selagi boleh.
“Saya rasa buat masa ini, saya masih punya kudrat berganda untuk giat bekerja.
“Persiapan belum buat lagi. Barang bayi pun saya tidak beli lagi, mungkin cari kelengkapan bulan hadapan,” katanya kepada HibGlam.
Ditebak tentang jantina bayi, Zahirah tersenyum dan enggan mendedahkan perihal terbabit selagi belum sampai waktunya.
“Jantina bayi saya dah tahu. Insya-Allah saya akan dedahkan kelak,” jelasnya.
Seperti yang disebutkan di perenggan terdahulu, Zahirah sememang tidak kelihatan seperti wanita mengandung dek fizikalnya yang langsing, anak seni kelahiran Kuala Lumpur itu tetap mengalami kenaikan berat badan.
Jadi , soal langsing bukanlah satu masalah memandangkan perjalanan kehamilannya sama seperti wanita lain.
“Naik berat badan? Itu semestinyalah sebab normal wanita mengandung akan semakin berisi.
“Mungkin saya sangat aktif, itu yang tidak nampak ketara perubahan badan walaupun naik sebanyak 10 kilogram (kg),” tutur pelakon jelita itu.
Adik Isaac
Kongsi Zahirah lagi, kini anak pertamanya Isaac yang bersemangat dan tidak sabar menanti kehadiran adik.
“Penerimaan Isaac untuk dapat adik, dia sangat teruja. Setiap hari akan cium perut dan cakap dengan adiknya dalam perut.
“Dia pun sudah beritahu semua orang bahawa dia akan jadi abang.
“Kami nampak sifat kematangan dan dah menonjol perangai ‘abang-abang’ dalam dirinya,” ujarnya lagi.
Zahirah mengidam
Mencelah dalam perbualan, Aiman pula menyifatkan kehamilan kedua Zahirah jauh berbeza ketika mengandung anak sulung.
“Anak kali ini sangat berbeza, Zahirah lebih aktif. Tak tahu dari mana tenaga tersebut datang.
“Ira (Zahirah) tidak pernah minum minuman berkarbonat dan makan nasi seperti nasi lemak.
“Namun, disebabkan tengah mengandung, dia ‘belasah’ semua makanan walaupun tidak pernah makan sebelum ini,” seloroh aktor berusia 35 tahun itu.
Ditanya mengenai perasaan menjadi bapa kepada dua orang cahaya mata, Aiman ternyata teruja untuk menimang ahli keluarga baharu tidak lama lagi.
“Saya baru sedar keluarga semakin membesar.
“Teruja sebenarnya, namun pada masa sama menyedari tanggungjawab saya bertambah besar.
“Ini membuatkan semangat bekerja keras semakin bertambah demi memastikan keselesaan insan kesayangan,” tutupnya sambil tersenyum.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.