Wings ‘menggila’ di Pulau Pinang

SERAMAI 8,000 penonton di Spice Arena Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada sejarah berlangsungnya Konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter yang meninggalkan 1,001 magis.

Berdurasi hampir tiga jam, persembahan mega yang dibawakan khas ke Pulau Mutiara nyata memenuhi ekspektasi peminat tegar band rock ikonik itu.

Sebaik vokalisnya, Datuk Awie bersama rakan seperjuangan iaitu Eddie, Black, Edrie serta Syam melangkah ke pentas utama, khalayak menggila mendengar Romania, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing memanaskan gelanggang.

Tidak membuang masa, deretan seleksi berhantu yang masih segar sehingga ke hari ini disampaikan berturut-turut seperti Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru serta Sayap Ilusi.

Melengkapkan lagi repertoire adalah Hukum Karma, Ingatkan Dia, Rantai, Nurnilam Sari, Opera Hidup, Awang Trasher dan Lipas Kudung yang membuatkan adrenalin penonton terus memuncak.

Rangkaian dendangan bermula dari naskhah debut kumpulan itu, Belenggu Irama sekitar 1987 sehingga album studio terakhir sedekad lalu iaitu Menakluk Kosmos terus membuai khayalan.

Enggan mengecewakan pengikut tegar yang digelar Sayap Sayap Wings, enam lagu popular dirangkumkan dalam medley iaitu Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama.

Menariknya, Wings turut membawakan lagu tribute yang mempopularkan nama Awie sebagai penyanyi solo iaitu Bara dan Dipenjara Janji disusuli Like Hell nyanyian asal kumpulan Loudness.

Dalam kemeriahan meraikan malam sarat nostalgia itu, mereka tidak lupa mendedikasikan segmen khas buat rakyat Palestin dengan menyampaikan lagu Allah Allah Aghisna diiringi doa memohon kesejahteraan saudara seagama di sana.

Dalam pada itu, band otai terbabit turut berkongsi perancangan membawa Wings The Rock Emperor ke beberapa destinasi lain.

“Insya-Allah, kami sudah merisik dua tempat di Pantai Timur.

“Jika tiada aral, konsert ini dijangka berlangsung selepas sambutan Aidilfitri,” kata Awie.

Pulang dengan kepuasan, kaki konsert di utara menyambut baik perancangan Wings untuk meneruskan jelajah, namun berharap kumpulan terbabit kembali beraksi di Pulau Pinang pada masa akan datang.

Bahkan, menerusi perkongsian video serta gambar sepanjang konsert, penonton menzahirkan rasa kagum dengan konsert mega berkonsepkan teaterikal itu yang disifatkan sempurna.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok