Wawa ikhlas bantu Misya Mazlan, mahu buka lebih peluang

PELAKON dan usahawan Wawa Zainal menegaskan keputusan melantik madu Marissa Dania, Misya Mazlan sebagai duta tudung syarikatnya adalah atas dasar mahu membantu.

Kata pemilik nama lengkap Nur Hawa Zainal Abidin, 32, tidak wujud istilah cuba mengambil kesempatan kerana tawaran diajukan kepada ibu seorang cahaya mata itu sudah lama, namun hanya baru-baru ini kolaborasi tersebut diumumkan kepada khalayak.

“Sebenarnya kerjasama ini secara kebetulan berlangsung selepas kontroversi membabitkan mereka bertiga sedang hangat diperkatakan masyarakat.

Sejujurnya kami sudah buat perjanjian dengan Misya agak lama dulu, jadi kalau anggap kami ‘tunggang’ kontroversi yang berlaku sebagai strategi pemasaran, itu tidak benar.

“Kami memang nak bantu dia, sebab yang sebelah sana (Marissa) sudah raih banyak tawaran kerja,” katanya pada Majlis Indahnya Ramadan bersama Wawa serentak pelancaran rangkaian produk baharu Wawa Cosmetics, Love Your Skin.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu mengakui selain Misya, syarikat mereka turut mengambil ramai pempengaruh bagi mempromosikan jenama Wawa Scarves dan Wawa Cosmetics.

Kami mahu buka laluan agar dia lebih menonjol, jadi peluang mendapatkan banyak tawaran lain semakin besar, bukan dia saja kerana ramai lagi artis serta pempengaruh wakili produk kami setiap bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Aeril turut mengulas mengenai pandangan segelintir pihak berkenaan ‘mengambil orang yang teraniaya’ mempromosikan produk mereka.

Katanya, perkara tersebut mungkin hanya tanggapan sesetengah netizen, tetapi dari segi bisnes perkara membabitkan perasaan di luar pengetahuan syarikat.

Tanggapan ‘mengambil orang teraniaya’, itu kami pasti sama ada dia teraniaya atau tidak, mana tahu dia pun bahagia saja,” ujarnya.

Terdahulu, sekitar Februari lalu, Wawa melantik Misya yang juga madu anak Normal Hakim dan Abby Abadi sebagai wajah koleksi tudung terbaharu jenama Wawa Scarves selama tiga bulan.

Pemilihan itu meraih pujian ramai memandangkan ketika itu Misya berdepan situasi sukar apabila pernikahan rahsia suaminya, Aslam dengan Marissa di Songkhla, Thailand terbongkar.

Mengenai majlis raikan Ramadan bersama anak yatim dan pelajar, akui Aeril sejak ditubuhkan pada 2018, Wawa Cosmetics mengimarahkan puasa dengan berbahagi rezeki.

Hasrat kami adalah untuk melihat anak-anak ini gembira kerana saya pun menjadi anak yatim pada usia 17 tahun, dah faham situasi tetapi rata-rata mereka ini masih kecil ketika hilang orang tua.

“Sekurang-kurangnya sumbangan dan sokongan kami ini dapat menyuntik bahagia,” ujarnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok