PERNAH tinggal di rumah kebajikan hampir dua tahun selepas ibunyanya bercerai, pelakon cantik Fasha Sandha memahami situasi dilalui anak yatim yang kehilangan kasih sayang orang tua.
Kata pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan, wanita kesayangannya, Hatijah Teh Man mengambil tanggungjawab sebagai penjaga anak yatim dan membawa bersama tiga pemata hati menumpang teduh.
“Kehidupan anak yatim memang cukup dekat dengan saya kerana bukan sahaja tak merasa kasih sayang ayah sejak usia dua tahun, saya juga pernah membesar sebumbung dengan kawan-kawan senasib.
“Waktu itu mama bekerja di sebuah rumah anak yatim di Perlis, jadi saya bersama adik-beradik lain tinggal di sana memandangkan mama juga sudah menjanda.
Hampir dua tahun kami tinggal di situ, bahkan saya masih ingat disebabkan mama terlampau sibuk menguruskan kanak-kanak di sana sampai tak sedar saya terjatuh longkang. Waktu itu saya berumur lima tahun,” katanya kepada Kosmo! Online.
Fasha yang ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Alfaro Sdn Bhd kepada 1,000 anak yatim mengakui tidak mampu menahan air mata apabila berada di sisi kanak-kanak terbabit.
Air mata ibu kepada tiga cahaya mata itu mengalir laju apabila mengimbau memori ketika kecil selepas ketiadaan tempat berteduh bergelar bapa.
Kata Fasha, selama lapan tahun bonda tercinta membesarkan anak-anak bersendirian selain bergelut dengan tanggapan buruk masyarakat terhadap wanita bergelar janda.
Mama buat banyak kerja demi sesuap nasi, tapi setiap hari dia tak lupa sediakan sarapan sebelum menghantar kami bertiga ke sekolah dengan berbasikal sejauh tiga kilometer.
“Walaupun serba kekurangan, mama sentiasa pastikan perut kami tak kosong, sekurang-kurangnya bawa bekal donut. Itu yang buatkan kami sangat kagumi semangat mama.
Apatah lagi zaman dulu janda dipandang serong, tak macam sekarang yang hormatkan ibu tunggal. Tapi mama tak hirau semua itu, dia memang wanita hebat,” ujarnya.
Mengulas kerjasamanya dengan Alfaro, pelakon versatil itu mengakui berbesar hati apabila syarikat pengeluar pakaian lebaran itu saban tahun berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
Alfaro sudah lama menyalurkan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal serta golongan sasaran lain sejak awal operasi bertahun-tahun yang lalu.
“Selepas dilantik sebagai duta, saya usulkan supaya Alfaro berkongsi program ini bagi menggalakkan syarikat lain melakukan perkara sama,” katanya. – HIBGLAM
View this post on Instagram