“RASANYA untuk pulih sampai bila-bila pun mungkin tidak. Boleh memaafkan tetapi tidak melupakan”.
Demikian kata pelakon Mimi Lana apabila disoal tentang emosinya selepas pembatalan pernikahannya dengan aktor Syafiq Kyle.
Meskipun bersedih dengan apa yang berlaku, jelas Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin, 29, Memaafkan adalah cara terbaik untuknya kembali bangkit.
“Sebagai wanita kita tidak boleh menipu tentang perasaan sedih, namun kita harus bersederhana dalam perasaan.
“Kalau Allah beri kesedihan kita menangis, cuma janganlah sampai menganggu kehidupan harian, orang sekeliling dan kerjaya.
“Ini semua sudah tertulis. Syukur saya dapat atasinya dengan baik. Mungkin Allah mahu beri yang lebih baik untuk saya pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Mimi menegaskan perhubungan selama sembilan tahun menjadikan mereka berdua matang dan tidak mengambil masa yang lama untuk move on.
Bahkan selepas pembatalan pernikahan, Mimi dan Syafiq mengekalkan hubungan baik dan profesional dalam kerjaya apabila terus bergandingan dalam beberapa tawaran kerja termasuk pelbagai kempen iklan.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersemuka dengan Syafiq (selepas pembatalan perkahwinan). Kami sudah kenal lama, sembilan tahun.
“Jadi, kami matang dan tahu cara untuk menyelesaikan masalah tanpa terlalu mengikut emosi.
“Industri seni kita kecil sahaja, jadi kena profesional dan ketepikan soal peribadi. Saya juga tidak ada masalah untuk bergandingan dengannya. Malah, saya ada banyak projek seperti kempen dan lakonan dengannya,” ujar Mimi.
Mimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya, First Wives di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini semalam.
Sungguhpun begitu, Mimi tetap dengan pendiriannya untuk tidak berkongsi butiran terperinci berhubung punca pembatalan pernikahannya yang sepatut berlangsung pada 18 Ogos tahun lalu.
Kata Mimi perkara tersebut terlalu peribadi untuk dikongsi bersama umum.
“Apa yang berlaku biarlah saya simpan supaya tidak menjadi lebih besar atau menimbulkan sebarang spekulasi. Apa yang orang nampak itulah ceritanya,” tutur Mimi.
Menyentuh tentang drama First Wives, Mimi berkata buat pertama kalinya dia melakonkan watak komedi.
“Sebelum ini saya banyak berlakon dalam drama genre berat. Kali ini saya tampil dengan genre komedi yang bagi saya sangat berbeza.
“Jujur ada wujud perasaan gementar sebab saya tahu saya bukanlah orang kelakar. Tetapi di set penggambaran semuanya memberi kerjasama dan tidak sangka saya boleh melakonkan watak komedi dengan baik.
“Seronok pula berlakon komedi. Pada masa depan saya akan pertimbangkan untuk terima lebih banyak watak genre sebegini,” kata Mimi.
Drama First Wives terbitan Astro Shaw itu turut dibintangi Malek McCrone, Melissa Chambell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh. – HIBGLAM
View this post on Instagram