[VIDEO] Isu khalwat, netizen ‘korek’ nyanyian Aliff untuk Ruhainies

TIDAK menunggu lama, netizen menyelongkar semula rakaman nyanyian pelakon Aliff Aziz kepada heroinnya, Ruhainies berjudul Dari Mata yang kini tular dalam TikTok.

Aksi spontan di set penggambaran drama Terjerat itu menunjukkan bintang jelita terbabit tersipu-sipu diperdengarkan lagu dendangan asal penyanyi Brunei, Jaz atau Aziz Hayat.

Apatah lagi suami kepada pelakon Bella Astillah itu tampak sepenuh hati mendendangkan bingkisan berkisar mengenai jejaka jatuh cinta pandang pertama dengan kilauan mata si gadis.

Video singkat tersebut dikongsikan sendiri Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, yang ketika itu difahamkan sedang menunggu giliran masuk ke set.

Sambil memegang segelas air yang dilekapkan pada wajahnya, Ruhainies tersenyum dan sesekali memandang wajah hero gandingan yang duduk di hadapannya.

“Rehat beberapa minit kemudian ada orang hiburkan begini, seronok juga.

“Walaupun penat babak berat, setiap hari pun saya sanggup,” katanya dalam satu video lain yang dimuat naik di Instagram.

Hasil semakan mendapati ramai pemerhati singgah di ruangan komen memberikan pelbagai pandangan serta ingatan kepada kedua-dua selebriti berkenaan.

Biarpun tiada sebarang pengesahan mengenai identiti seorang lagi pelakon yang dicekup pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), awal pagi tadi, nama Ruhainies terpalit dengan tuduhan tersebut.

Apatah lagi beberapa ahli keluarga terdekatnya termasuk pelakon Risteena Munim turut kelihatan di kondominium tempat tangkapan dibuat.

Selain video Dari Mata, sebelum ini Ruhainies juga galak berkongsi beberapa lagi paparan momen sepanjang penggambaran termasuk memegangkan payung sambil berjalan berdua.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berstatus suami orang ditangkap khalwat dengan seorang pelakon wanita di sebuah kondominium di ibu negara.

Mengukuhkan spekulasi individu terbabit adalah penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu apabila Bella dilihat hadir di pejabat agama seawal 2.40 pagi tadi. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok