PEDIH! Barangkali ini perkataan paling tepat bagi menggambarkan apa sedang dilalui keluarga penyanyi dan pelakon Aliff Aziz di Kota Singa.
Ternyata kes tangkap khalwat selebriti asal Singapura itu bersama pelakon Ruhainies baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada keluarga malah adiknya yang juga penyanyi, Aisyah Aziz mengakui terpaksa menghadam situasi sukar itu tanpa menghukum mana-mana pihak kerana sedar perbuatan menyebar cerita buruk orang lain tanpa kesahihan merupakan satu kepuasan bagi sesetengah pihak.
Kami sekeluarga menerima tamparan hebat, bagaimanapun saya tidak boleh menilai anda semua mengenai perkara itu.
“Mungkin anda tidak tahu mengenai perkara itu. Mungkin bercakap dan menyebarkan membuatkan anda berasa lebih baik,” luahnya dalam Instagram Story.
Penyanyi berusia 30 tahun itu turut berharap orang ramai dapat menahan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu berhubung kes membabitkan abangnya.
Aisyah juga menyatakan insiden yang menimpa Aliff mungkin boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
Malah kongsinya lagi, setiap insan mempunyai kekurangan, namun Allah menutup aib hamba-Nya sekali gus meminta masyarakat tidak menjadi golongan penyebar aib orang lain.
“Saya berharap anda semua boleh menahan godaan daripada menyebarkan maklumat tidak benar atau aib kerana kita mungkin akan diuji dengannya.
“Kita semua ada kekurangan. Allah telah menutup aib kita dari seluruh dunia, (jadi) janganlah kita menjadi sebahagian daripada mereka yang menyebarkan aib orang lain,” ujarnya.
Pada awal pagi Sabtu lalu, Aliff dan Ruhainies yang digandingkan dalam drama Terjerat ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Mereka yang ditahan di pejabat agama pada awal pagi bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pada petang hari sama, sementara menanti pendakwaan di mahkamah syariah dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Aliff dan Ruhainies mengeluarkan kenyataan serentak dalam akaun media sosial masing-masing meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi. – HIBGLAM