Tunjuk 27 resit deposit wang, Ali Puteh sudah langsaikan hutang

PELAWAK  Ali Puteh telah melangsaikan hutang saman kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd. Ali berjumlah RM72,490 yang mencetuskan konflik sebelum ini.

Ali atau nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, berkata wang berkenaan sudah dimasukkan ke dalam akaun Hidayah menerusi mesin deposit tunai, semalam.

“Hari ini (Sabtu) saya sudah selesaikan apa yang tertunggak. Saya baru balik dari bank memandangkan baru ada kelapangan.

“Bank tutup pula jadi terpaksa guna CDM (cash deposit machine),” katanya menerusi perkongsian video dalam aplikasi TikTok.

Susulan deposit wang tunai dalam amaun besar, adik kepada Allahyarham Abam Bocey turut menyertakan 27 keping resit sebagai bukti pembayaran.

Menurut Ali lagi, jumlah tersebut tidak termasuk RM3,000 yang ditolak daripada tuntutan asal iaitu hutang Hidayah dengannya.

Menerusi hantaran sama, dia berharap tiada lagi isu berbangkit berkaitan tuntutan hutang antara mereka memandangkan semua urusan sudah diselesaikan dengan sempurna.

“Balu (Hidayah) juga ada ‘sangkut’ hutang dengan saya sebanyak RM3,000. Peguam kata kontrakan sahaja dengan jumlah wang ini.

“Jadi saya bayar RM72,490. Selepas ini, saya harap tiada lagi sebarang dakwaan atau berpanjangan isu ini.

“Maaf lambat sedikit sebab ada kekangan kerja,” ujarnya.

Pada masa sama, Ali menjadikan apa yang berlaku antaranya dan Hidayah sebagai iktibar dan mahu fokus berniaga selepas ini.

“Saya ambil ini sebagai satu pengajaran buat diri sendiri dan semua. Selepas ini, fokus kacau sambal,” katanya.

Terdahulu, 20 Februari lalu, Ali datang ke rumah Hidayah bagi menyerahkan hutang sebanyak RM75,000 yang dikumpul daripada hasil jualan barangan peribadi serta sambal yang diusahakan bersama isterinya.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu enggan menerima wang tunai atas faktor keselamatan.

Hidayah meminta Ali membawa wang tersebut ke pejabat peguam atau dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Terdahulu, pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok