MAHU menoktahkan persepsi liar, pelakon Fatiya Latiff mengesahkan dia beragama Islam dan masih mengamalkan gaya hidup sebagai Muslim.
Pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff, 37, itu berkata, tuduhan murtad yang dibuat netizen hanya berdasarkan video dalam TikTok adalah satu dakwaan berat.
Saya masih mengamalkan (ajaran) Islam, tapi mereka membuat andaian dari komen-komen di TikTok yang tidak benar dan tanpa berasas.
“Kafir ialah kata-kata yang kasar, bukan sahaja dalam kalangan Muslim tapi penganut agama lain,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon drama bersiri Ariana Rose itu menegaskan semua perkongsiannya adalah cara untuk menzahirkan luahan hati, bukan minta ditafsirkan khalayak.
Katanya, pendapat pihak luar juga tidak ada sebarang kaitan dengan perkara yang diketengahkan dalam setiap hantaran menerusi media sosial.
Semua video TikTok saya adalah pandangan saya sendiri dan cara saya mengekspresi diri. Netizen tidak pernah memberi kesan terhadap kehidupan saya,” ujarnya.
Sebelum ini Fatiya memberi amaran kepada netizen yang melemparkan kecaman melampau bahawa mereka menjadi punca sekiranya dia keluar agama Islam.
Lebih mencetuskan kebimbangan ramai apabila pelakon sensasi terbabit memberikan bayangan tahun ini mungkin Ramadan terakhir buatnya.
Terdahulu, nama Fatiya mencetuskan perdebatan ramai selepas memuat naik hantaran berbaur provokasi terhadap pasangan pelakon Zahirah MacWilson dan suaminya, Aiman Hakim Ridza.
Tidak terhenti di situ, ‘drama’ panas berkenaan berlanjutan apabila dia berbalas kenyataan dengan pelakon Zarina Anjoulie .
Susulan itu, Fatiya didakwa mengalami gangguan mental namun menangkis tanggapan tersebut apabila menegaskan dirinya dalam keadaan sihat dan hanya berdepan tekanan. – HIBGLAM