Tolong bagi kerjasama! – Risteena nak saman pemfitnah Ruhainies

PELAKON Risteena berhasrat mengambil tindakan undang-undang sebagai langkah mempertahankan maruah adiknya, Ruhainies yang menjadi sasaran kecaman netizen selepas ditangkap bekhalwat bersama Aliff Aziz.

Tegas Risteena atau Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 34, segala hantaran berbaur hinaan dan fitnah itu disimpan sebagai bukti walaupun ada antaranya sudah dipadam.

Meski sudah padam, semua bukti berunsur fitnah, lucah dan maki akan ditangkap layar pihak peguam.

“Tolong bagi kerjasama nanti,” katanya menerusi Instagram.

Menerusi hantaran terbabit, dia berkongsi beberapa tangkap layar mesej yang diterima selepas Ruhainies mengeluarkan kenyataan tentang kejadian sebenar berhubung insiden dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) pada pada 8 Mac lalu.

Sebelum ini, isteri kepada pelakon Isa Khan itu memaklumkan bahawa pegawai Jawi tiba di lokasi kejadian pada pukul 11 malam, bukan 3 pagi seperti digembar-gemburkan.

Dia juga menunjukkan bukti tangkap layar perbualan antaranya dan Ruhainies di aplikasi WhatsApp pada hari kejadian.

Paparan mesej tersebut sekali gus menjadi bukti kebenaran dakwaan Ruhainies mengenai tindakan membawa masuk Aliff ke dalam rumah adalah bagi menunggu kedatangan ahli keluarganya untuk makan malam bersama.

Terdahulu, nama Ruhainies dan suami kepada Bella Astillah menjadi bualan hangat susulan tangkapan khalwat di kediaman pelakon itu dan kemudian mereka dibawa ke pejabat Jawi sebelum dibebaskan dengan jaminan pada hari sama.

Susulan insiden terbabit, Bella memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin lalu dengan sebutan kali pertama berlangsung kelmarin.

Namun, kelibat Aliff tidak kelihatan atas alasan sedang menjalani penggambaran drama Terjerat yang  menggandingkannya dengan Ruhainies. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok