Titip nasihat istiqamah, netizen mahu Neelofa kembali mengacara MeleTOP

HIDAYAH milik semua, perkongsian pengacara dan usahawan popular Neelofa buat mereka yang dalam proses berubah ke jalan lebih baik mengundang rasa teruja netizen.

Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 35, itu berkata, kunci kepada pintu mencari jalan Allah adalah ilmu, selain memperkasakan diri untuk terus melakukan kebaikan.

“Hidayah itu datang kepada semua orang, tinggal lagi kita sendiri mahu rebut atau tidak sahaja.

Istiqamah itu berat, ringan itu istirehat tetapi paksalah diri untuk terus berbuat baik.

“Carilah ilmu kerana ilmu itulah kunci kepada hidayah,” ujarnya ketika menjadi hos jemputan program MeleTOP Moreh bersama Nabil.

Menariknya, kemunculan isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu menemani Nabil meraih respon positif netizen.

Semakan HibGlam menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum terhadap perkongsian ilmiah Neelofa selain meminta ibu kepada dua cahaya mata itu kembali menjadi hos tetap program tersebut.

Ya Allah kagum betul dengan tutur kata Neelofa sekarang, sesuai jemput dia untuk bulan Ramadan ini, banyak perkongsian,” demikian komen seorang netizen.

“Mohon Neelofa kembali mengendalikan Meletop bersama Nabil, keserasian kalian tidak dibuat-buat, memang menjadi,” demikian komen seorang netizen lagi.

Terdahulu, pada 2019, Neelofa mengejutkan khalayak apabila mengumumkan pengundurannya sebagai hos selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu.

Neelofa mula mengendalikan MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara juga pelawak popular, Nabil Ahmad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok