Tipulah lagi, aku bagi ‘kaw kaw’ – Aaron Aziz

PUAS menahan sabar, pelakon Datuk Aaron Aziz akhirnya membuat laporan polis terhadap empat akaun Instagram yang didakwa menjalankan sindiket penipuan menggunakan namanya.

Kata pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz, 48, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengambil kesempatan itu perlu diberi pengajaran.

Assalamualaikum, siapa yang lihat hantaran saya pagi tadi (semalam), saya sudah buat laporan polis. Scammer ada di mana-mana sekarang ini.

“Nak hidup senang tanpa usaha. Kepada empat akaun ini korang tunggulah nasib kau. Dapatlah saya duit raya lebih tahun ini,” katanya dalam hantaran dalam Instagram.

Pelakon filem KL Gangster itu turut berkongsi video menunjukkan salinan laporan polis yang difahamkan dibuat di sebuah balai polis di Lembah Kelang, semalam.

Menerusi rakaman video terbabit, dia menyatakan tindakan tersebut diambil sebagai usaha mengekang kedegilan scammer berterusan menipu orang ramai.

Dalam hantaran lain, Aaron menzahirkan perasaan kesal apabila sikap diamnya sebelum ini membuatkan penipu besar kepala.

Situasi berkenaan mendorong pelakon kelahiran Singapura itu meneruskan tindakan undang-undang.

“Dulu kau buat aku diam, bagi kau peluang minta kau sedar sikit. Hari ini kau buat lagi.

“Esok (hari ini) mula Ramadan bulan baik, tapi esok juga kau akan aku bagi ‘kaw kaw’.

“Jangan anggap sikap baik hati aku sebagai satu kelemahan,” luahnya lagi.

Menerusi semakan dalam ruangan komen menunjukkan nama, wajah serta identiti pelakon bertubuh sasa itu digunakan tanpa izin untuk mempromosikan pelbagai produk.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok