Taring Ungu masih berbisa

KUMPULAN muzik terkenal Indonesia, Ungu yang dianggotai vokalis, Pasha, Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram) merupakan sebuah band yang pernah menjadi fenomena bukan sahaja di negara asal mereka, bahkan juga di Malaysia.

Lagu-lagu seperti Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu menjadi kegilaan ramai dan sentiasa berkumandang di corong-corong radio.

Hari ini, Ungu yang telah mencapai usia penubuhan selama 28 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1996. Ternyata, pengaruh muzik mereka masih ‘berbisa’.

Buktinya, konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless yang diadakan di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur baru-baru ini, berjaya memukau jiwa penggemarnya dengan sebuah persembahan yang begitu mengasyikkan.

PASHA mewakili Ungu berharap dapat bertahan untuk 10 tahun akan datang dan terus menghiburkan peminatnya bukan sahaja di Indonesia, bahkan juga di Malaysia.

Ruang konsert yang dipenuhi sekitar 5,000 peminat tegar kumpulan yang diasaskan di Jakarta, Indonesia itu riuh saat layar lebar yang menjadi latar pentas, menayangkan perjalanan Ungu sambil diiringi dengan lagu-lagu popular mereka.

Kemunculan Pasha bersama ahli kumpulan lain mengambil posisi pentas menggamatkan lagi suasana, sewaktu penyanyi itu membuka tirai persembahan dengan menyanyikan tiga lagu iaitu Hampa, Percaya Padaku dan Berikan Aku Cinta.

Saya senang (gembira) dapat bersama peminat dari Malaysia pada malam ini. Apa yang saya suka setiap kali mengadakan konsert di negara ini, kerana peminatnya yang cukup luar biasa (hebat).

“Melihat kamu semua membuatkan saya lebih bertenaga untuk menghiburkan kalian,” ucap Pasha usai menyanyikan tiga lagu.

Pujian patut diberikan kepada vokalis berusia 45 tahun itu kerana suaranya masih ‘tampan’ seperti dahulu.

Lantunan vokalnya cukup bertenaga dan jelas walaupun ketika ditarik pada bahagian nada tinggi. Meskipun mengalami sedikit perubahan bentuk tubuhnya yang semakin berisi, namun Pasha langsung tidak kelihatan lelah.

VOKAL mantap Pasha kekal padu apabila berjaya menyampaikan 30 lagu dengan sempurna.

Bahkan, penulis yang turut berada di sana, tidak melihat pun penyanyi itu meminta izin untuk meneguk air setiap kali selesai membuat persembahan. Memang cukup luar biasa.

Memasuki segmen seterusnya, Ungu turut memberi penghargaan buat dua kumpulan terkenal Malaysia iaitu Exist dan Ukays dengan menyanyikan lagu popular mereka.

Sorakan penonton semakin meriah saat Pasha mendendangkan lagu Mencari Alasan yang dipopularkan oleh Exist dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu oleh Ukays.

Apresiasi

Pasha atau nama lengkapnya Sigit Purnomo Syamsuddin mengakui dua kumpulan itu merupakan antara band yang banyak mempengaruhi industri muzik Indonesia sekitar tahun 1990-an.

Saya harus membuat pengakuan kepada penonton di Malaysia bahawa band dari negara ini sebenarnya telah banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada muzik di Indonesia.

“Di kesempatan ini, saya mewakili pemuzik dari Indonesia ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pemuzik di Malaysia kerana sudah banyak memberi rujukan kepada kami,” ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh daripada penonton.

KONSERT Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless menajdi kenangan terindah buat pengikut setia Ungu di negara ini.

Malam yang semakin melabuhkan tirainya kian terasa. Bahkan, penonton juga seakan-akan tidak puas apabila Ungu belum menyanyikan lagu-lagu siulan yang menjadi kegilaan penggemarnya di Malaysia.

Tiba masa yang ditunggu apabila Pasha mengajak penonton untuk sama-sama menyanyikan seleksi lagu-lagu ‘berhantunya’ seperti Andai Ku Tahu, Kekasih Gelap, Tercipta Untukmu dan Demi Waktu.

Sebelum meninggalkan pentas, Ungu mengajak penonton menari sebagai penutup acara dengan menyanyikan lagu Seperti Mati Lampu.

Konsert yang menampilkan 30 buah lagu terasa begitu singkat. Namun, yang pasti para hadirin berasa puas dan berbaloi melabur wang ringgit membeli tiket demi persembahan Ungu penuh membekas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok