Tantari, penyanyi cilik berbakat besar ‘gegar’ industri

PENYANYI cilik, Tantari mencipta kejayaan membanggakan selepas lagu dendangannya, Rindu Hatiku Rindu berjaya menduduki lagu ‘trending’ nombor satu dalam YouTube, dengan jumlah tontonan mencecah 1.6 juta selepas tiga minggu dimuat naik dalam platform tersebut.

Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd. Alfian yang baru berusia 6 tahun, sebelum ini meraih perhatian ramai selepas video dia menyanyikan lagu Cinta Melankolia oleh penyanyi asal, Allahyarham Aan menjadi tular.

Dia kemudiannya dilamar pihak stesen Molek FM dengan kerjasama syarikat rakaman, Nova Music untuk merakamkan lagu sulungnya berjudul Rindu Hatiku Rindu, ciptaan komposer terkenal, Eddie Hamid, manakala liriknya pula dihasilkan Jaju dan Hakim Hakimi.

Menariknya, lagu yang dilancarkan pada 15 Februari lalu itu dihasilkan dengan melodi seakan lagu pada era tahun 1990-an, sekali gus menjadi trending bukan sahaja dalam YouTube, tetapi juga TikTok.

Video nyanyian Tantari dikongsikan dalam akaun TikTok @loyygoji pada 6 Januari lalu sehingga mendapat lebih daripada 300,000 tanda suka.

Lebih membanggakan, video muzik (MV) Rindu Hatiku Rindu berjaya mencapai jumlah tontonan sebanyak empat juta penonton selepas dikongsikan dalam akaun TikTok @Hafizfeisal, selain turut berkumandang di stesen radio Molek FM dan Hot FM.

Eddie berkata, selepas kali pertama menonton video Tantari ketika menyanyi, dia sangat tertarik dengan cari nyanyiannya dan tahu lenggok lagu yang sesuai untuk dinyanyikan olehnya.

Rindu Hatiku Rindu merupakan lagu pertama saya yang dibuat khas untuk kanak-kanak. Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik.

“Bakat sepertinya perlu diketengahkan sebagai pelapis untuk penyanyi sedia ada. Walaupun Tantari masih kanak-kanak, namun saya tidak berdepan masalah sewaktu proses rakaman lagu dilakukan di Studio NAR.

“Kami hanya mengambil masa selama kira-kira tiga jam sahaja untuk selesaikan proses rakaman,” kata Eddie.

Memandangkan usianya yang masih terlalu muda, lirik lagu penyanyi yang bakal memulakan sesi persekolahan darjah satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor itu dihasilkan mengikut kesesuaian usianya.

Menurut bapa Tantari, Mohd. Alfian Othman, anaknya mula menunjukkan minat dalam bidang nyanyian seawal usia dua tahun apabila gemar menyanyikan lagu-lagu penyanyi dewasa.

Lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu popular era tahun 1960-an iaitu Oh Fatimah.

Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun ketika dia menyertai pertandingan nyanyian, Idola Kecil.

“Mula-mulanya di peringkat prasekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama,” ujar Alfian.

Sebagai bapa, dia bersyukur apabila nyanyian anaknya digemari ramai. Malah tidak menyangka anaknya amat meminati muzik bergenre rock.

Mungkin sebab saya selalu buka lagu-lagu sebegini (rock), membuatkan lagu ini masuk ke dalam dirinya,” ujarnya.

Alfian Othman yang juga merupakan seorang guru silat berkata, dia tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran daripada Eddie untuk merakamkan lagu buat anaknya.

Tantari mula menunjukkan minat dalam bidang nyanyian seawal usia dua tahun apabila gemar menyanyikan lagu-lagu penyanyi dewasa.

Saya terus terima sebab saya berani katakan bahawa anak saya mampu lakukannya. Alhamdulillah, selepas diizin Allah SWT, inilah hasilnya,” kata Alfian.

Meskipun Tantari meminati bidang seni, namun sebagai bapa, Alfian tetap mengutamakan pelajaran anak sulungnya itu dalam segala hal.

“Antara pelajaran dan seni, kami mahu seimbangkan kedua-duanya. Pelajaran sangat penting termasuk ilmu agama yang perlu dititik beratkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat juga perlu ada.

Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah. jadi kita gunalah sebaiknya.

Lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyian Tantari kini boleh didengar dalam semua pltaform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Video. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok