Takkan kedai tayar? Isu The Gadys, Ajai salahkan label

NYANYIAN sumbang The Gadys ketika Anugerah KNKV Viral Award 2024 sehingga dikutuk ramai, disifatkan komposer terkenal, Ajai sebagai kecuaian label kumpulan yang salah dalam membuat percaturan.

Ujar Ajai atau nama lengkapnya Mohd. Faizal Maas, 49, dalam situasi ini paling utama adalah tanggungjawab pihak artis dan repertoire (A&R) dalam mencari bakat baharu yang boleh menyanyi.

“Saya tonton persembahan itu dan tidak terkejut sebab dah biasa tengok budak-budak sekarang menyanyi macam begitu.

“Selagi syarikat rakaman tak jaga kuantiti dan kualiti, memang susah. Label sepatutnya perlu ada A&R dalam menentukan sesuatu produk bagus atau tidak.

“Lagi pula mahu harapkan siapa lagi, takkan nak harapkan kedai tayar?,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Ajai yang sinonim bertindak selaku juri program nyanyian, kegagalan The Gadys menyanyi secara langsung berpunca daripada pelbagai faktor sampingan.

Katanya, terdapat tiga masalah dapat dikesan melalui nyanyian tersebut termasuk penjiwaan dan penghayatan ketika melakukan persembahan.

“Ada tiga masalah di situ. Pertama, kena tanya label. Kedua kena tanya penganjur. Ketiga, begitulah nyanyiannya kalau selalu guna ‘autotune’ ketika rakaman.

“Kamu tak dapat suara asli kamu dan hasilnya, suara asli hanya kedengaran bila kamu menyanyi secara langsung, sumbang.

“Paling penting penjiwaan. Ada orang ‘pitching’ dia tidak sampai. Tentulah, kita manusia memang tiada ‘pitch’ sempurna tetapi jika ada karisma, boleh ‘jual’,” ujarnya pada sidang media Konsert ByAjai & MegaFriends, baru-baru ini.

Sebelum ini, kumpulan wanita The Gadys berdepan kecaman netizen selepas nyanyian mereka kedengaran sumbang dalam Anugerah KNKV siaran TV2 pada 21 Februari lalu.

Ramai menyifatkan tahap nyanyian mereka seperti persembahan untuk program di sekolah ketika membawakan lagu medley termasuk Cinta Sampai Mati serta Gadis dan Bunga.

Ikuti HibGlam menerusi Facebook, Instagram, X (Twitter), Treads dan TikTok. Join Channel Telegram untuk informasi dan kisah sensasi tiada sempadan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok