Tak tunjuk hero, kongsi video cium batu sebagai kenangan – Hafiz Mahamad

MENGELAK pertelagahan, pempengaruh media sosial Hafiz Mahamad bertindak menurunkan video usaha sekumpulan pekerjanya mencium batu Hajar Aswad yang tular sehingga mencetuskan teguran ramai pihak.

Katanya, tujuan asal berkongsi rakaman ketika mengerjakan umrah bersama kaki tangan syarikat adalah untuk berkongsi pengalaman, bukan dengan niat menunjuk-nunjuk.

Menurut usahawan itu, mereka juga sudah menyempurnakan rukun wajib sebelum mengambil peluang melakukan perkara sunat itu.

“Maaf kerana saya terpaksa turunkan video berkenaan supaya kita tak bertelagah, selain daripada memberi pandangan baik.

Saya kongsi video itu sebagai kenangan agar orang ramai sedia berdepan cabaran untuk beribadah di sana serta melakukan persediaan mental dan fizikal.

“Itu sunat, tapi sebelum ke Tanah Suci saya selaku ingatkan mereka (pekerja) agar manfaatkan peluang, jangan ingat buru makanan saja atau hal lain, usahakan solat dalam Hajr Ismail atau cium Hajar Aswad,” katanya dalam perkongsian video.

Pengasas produk berusia 31 tahun itu memaklumkan, sepanjang tujuh kali menjejakkan kaki ke Mekah bersama kakitangan syarikatnya, dia cuba membantu melancarkan urusan agar tiada rasa ralat apabila pulang ke tanah air.

Namun, perkongsian yang dibuat semalam merupakan hantaran pertama dilakukan semata-mata mahu menyuntik keberanian mereka melaksanakan tuntutan sunat terbabit.

Bahkan, tegas Hafiz dia bukan berniat menjadi hero dan sudah meminta pendapat beberapa individu mengenai video tersebut dengan rata-rata memberikan respons positif.

Katanya, dalam tempoh dua jam pertama ramai pengikut laman sosial memberikan maklum balas selain terinspirasi dengan perkongsian dibuat.

Semalam, Hafiz berkongsi hantaran video yang memperlihatkannya duduk di atas bahu seorang lelaki sambil menjerit meminta laluan kepada jemaah umrah lain mencium Hajar Aswad.

Kelihatan mereka bersesak-sesak dan berebut-rebut untuk mengambil peluang tersebut dengan berapa pekerja wanitanya juga dilihat menangis serta seorang nyaris pengsan.

Walaupun usaha Hafiz dilihat satu tindakan murni, perbuatannya meraih kritikan kerana boleh memudaratkan pekerja dan jemaah lain sehingga didakwa menjadikan ibadah umrah sebagai konten.

Bukan hanya netizen, perkongsian berkenaan juga mendapat teguran agamawan termasuk Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok