MENARUH sepenuh kepercayaan terhadap pasangan, penyanyi Datin Alyah tidak pernah memeriksa telefon bimbit suaminya, Datuk Ramli MS sepanjang sedekad mendirikan rumah tangga.
Menurut pemilik nama lengkap Noor Hasliah Abu Hasan itu, keharmonian rumah tangga diserahkan sepenuhnya kepada Allah dengan sentiasa berdoa agar ikatan bersama insan tercinta merangkap maestro muzik itu terus terpelihara.
“Saya tak boleh jangka apa akan jadi pada masa depan, jadi saya banyak belajar daripada pengalaman. Kalau kita kawal (suami) pun, jika nak jadi apa-apa akan tetap terjadi.
Kalau suami keluar atau saya pergi kerja, saya amalkan baca al-Fatihah serta ayat Kursi untuk diri sendiri, itu saja.
“Bahkan saya tak pernah buka telefon suami, selain tak terfikir nak periksa sebab serahkan semua kepada-Nya,” kata Alyah selepas pelancaran produk Twomee Health Beauty dan pelantikannya sebagai duta, semalam.
Menurut Alyah, dirinya bukan jenis suka mengawal pasangan malah jika dibandingkan ketika awal bergelar isteri, fasa selepas 10 tahun hidup berumah tangga dirasakan lebih tenang.
Pengalaman menjadikan kita semakin matang. Betul kata orang, dugaan awal perkahwinan lebih kuat dan alhamdulillah, kehidupan kami semakin tenang. Tiada apa lagi nak dikejar,” ujarnya.
Berkongsi mengenai pelantikan sebagai duta produk kecantikan keluaran syarikat lokal itu, Alyah akan memanfaatkan kepercayaan yang diberikan itu dengan berkongsi rahsia penjagaan dan penampilan diri kepada peminat.
Saya bertuah dikurniakan rezeki berterusan bagi tahun 2024 terutama meraih kepercayaan Twomee yang bertepatan imej penggiat seni untuk sentiasa tampil segar.
“Sebagai duta saya akan terbabit dengan kerja promosi selain sama-sama menyertai kempen amal sempena Ramadan.
“Saya terima tawaran ini sebab sudah cuba sendiri produk Twomee Health Beauty yang sesuai untuk wanita dan lelaki beberapa bulan lalu,” katanya. – HIBGLAM