Tak perlu bina ‘chemistry’ di luar set – Wan Raja

TIDAK ada keperluan untuk bina keserasian dengan mana-mana pelakon wanita di luar set penggambaran”.

Demikian kata pelakon Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan Abu Bakar, 46, yang mengelak mewujudkan hubungan di luar waktu kerta semata-mata untuk mendapatkan keserasian.

Menurut Wan Raja, sepanjang 17 tahun bergelar anak seni dia memilih untuk fokus kerja di waktu bekerja sahaja dan tidak terbawa-bawa hingga ke luar lokasi.

Saya bukan jenis pelakon yang nak bina keserasian di luar set penggambaran. Lepak-lepak, makan-makan untuk kenal hati budi.

“Jika bekerja saya akan fokus pada kerja di waktu bekerja sahaja,” ujar Wan Raja kepada Kosmo! Online pada sesi sidang media dalam talian untuk drama terbaharunya, Malang Si Puteri semalam.

Dalam drama Malang Si Puteri, Wan Raja bergandingan dengan aktres Fasha Sandha dan menegaskan kontroversi cinta lokasi yang sedang hangat diperkatakan ramai tidak akan berlaku kepadanya.

Jelas Wan Raja ini bukan kali pertama dia bekerjasama dengan pelakon popular itu, malah isterinya, Yaya Maembong juga bersikap terbuka mengenai rakan gandingannya terutama Fasha.

Saya dan Fasha sudah banyak kali bekerjasama sebelum ini, tiada isu siapa sondol siapa atau sondol menyondol ini.

“Isteri saya pun tidak kisah jika tahu saya akan berlakon dengan Fasha kerana dia tahu Fasha bagaimana orangnya.

Begitu juga dengan Aidil yang tidak ada masalah jika kami bergandingan. Kami memang rapat sebagai kawan jadi, keserasian itu sudah sedia ada,” kongsi Wan Raja lagi.

Meskipun isteri amat memahami tugasnya sebagai pelakon dan bersikap terbuka, Wan Raja tetap berkongsi butiran mengenai drama lakonannya kepada belahan jiwanya itu jika membabitkan watak romantik.

“Saya tidak memilih sebaliknya terima sahaja mana-mana pelakon wanita yang digandingkan dengan saya.

Saya juga tidak perlu meminta kebenaran isteri untuk berlakon dengan pelakon wanita, tetapi sebagai suami saya tetap akan beritahu isteri jika lakonan ada membabitkan babak romantik.

“Namun, saya jarang dapat watak lelaki romantik, biasanya watak antagonis,” ujar Wan Raja.

Selain Wan Raja dan Fasha, drama Malang Si Puteri turut dibintangi Raja Azura, Hafreez Adam, Malek McCrone dan Aidit Noh.

Drama terbitan Radius One sebanyak 50 episod itu ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Ria pada pukul 6 petang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok