TAK mengapa orang nak cakap saya pelakon gatal, saya okey.”
Demikian kata pelakon Namron yang tidak kisah dilabel ‘pelakon gatal’ berikutan melakonkan adegan dianggap ‘softporn’ atau lucah ringan di dalam filem La Luna.
Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan ketika ditemui berkata, wataknya sebagai Ayob dalam filem tersebut, hanyalah rekaan dan bukan melambangkan dirinya yang sebenar.
Saya kenal siapa diri saya. Saya juga tidak seperti yang digambarkan dalam filem itu (La Luna)
“Jadi orang nak beri saya gelaran apa pun, saya terima,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelakon berusia 55 tahun itu terbuka dalam menerima setiap pandangan penonton terhadap filem arahan M. Raihan Halim yang disifatkan agak keterlaluan, sehingga dituduh mempersendakan agama.
Namron ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran album Satwo baru-baru ini berkata, walaupun wataknya dikecam, sekurang-kurangnya dia berjaya menghidupkan peranannya dalam filem tersebut.
Mungkin watak yang saya bawakan dalam La Luna buruk di mata sesetengah penonton. Namun bagi diri sendiri, saya berjaya bawakan watak tersebut walaupun orang tidak suka,” katanya.
Pada masa sama, pemenang trofi Pelakon Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 itu turut berpendapat penonton Malaysia belum terbuka untuk menerima paparan sedemikian dalam sesebuah karya.
Justeru, Namron meminta penonton untuk melihat sesebuah naskhah sebagai satu paparan cerita dan tidak fikir terlalu dalam sehingga mendakwa ada agenda tersembunyi yang cuba disampaikan.
“Apa yang boleh saya katakan, kita menonton filem sebagai sebuah filem. Kadang-kadang kita berfikir lebih sangat. Kita fikir filem ini ada agenda tersembunyi dan sebagainya.
Sedangkan perkara itu (agenda tersembunyi) tidak wujud sama sekali pun. Ketika kita menghasilkan sesebuah naskah, kita tidak terfikir pun untuk membawa sebarang agenda dan sebagainya.
“Filem itu dihasilkan sekadar ingin bercerita saja. Namun, tidak dinafikan ada kalanya mungkin ada juga pihak yang tidak dapat menerima. Tetapi, kalau kita lihat hanya dari sudut hiburan, filem ini bercorak komedi saja,” katanya.
Sementara itu, Namron turut menjelaskan isu yang cuba dibangkitkan mengenai sensitiviti agama sama sekali tidak menghalangnya untuk terus berkarya pada masa hadapan.
Saya menerima tawaran berdasarkan skrip dan watak yang cuba diceritakan. Sama ada menarik untuk saya bawa atau tidak. Kalau watak itu menarik dan berbeza mengapa tidak saya terima?
“Terpulang kepada mereka di luar sana untuk meletakkan persepsi sendiri. Apa yang penting adalah saya kenal siapa diri saya. Itu adalah pendapat dan tanggapan masing-masing,” katanya.
Terdahulu, La Luna yang ditayangkan di pawagam November tahun lalu, dikecam netizen apabila disiarkan menerusi platform penstriman, Netflix pada 9 Februari lalu.
Dalam filem tersebut, Namron membawakan watak pembantu sebagai Ayob dan bergandingan dengan Farah Ahmad sebagai isterinya bernama Enah.
Filem yang mengisahkan tentang penjual pakaian dalam lakonan Sharifah Amani itu memaparkan beberapa adegan menimbulkan rasa kurang senang segelintir penonton termasuk aksi mesra Ayob dan Enah dalam surau. – HIBGLAM