Syazani Zikry pegang prinsip tolak adegan panas

PELAKON baharu, Syazani Zikry, enggan untuk menerima tawaran berlakon yang menuntutnya untuk melakukan adegan panas seperti babak memperkosa.

Ujar pelakon berusia 26 tahun itu, dia bagaimanapun akan tetap meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa, namun sedikit selektif dalam memilih tawaran selagi tidak membabitkan adegan melampau.

“Saya tidak akan menerima tawaran berlakon jika terdapat babak yang boleh mengundang impak negatif dan buruk terhadap karier.

“Sebagai contoh, babak yang menunjukkan aksi seksual seperti memperkosa. Saya mahukan karya atau naskhah yang boleh membantu perkembangan kerjaya dan bukan yang mematikan,” katanya.

Jelas pelakon filem Sazali Meor Coco #TetiberUtuber itu, dia akan tetap dengan pendiriannya, walaupun ditawarkan dengan bayaran yang mahal untuk menghidupkan sesuatu watak diluar prinsipnya sebagai pelakon.

“Kalau tawaran yang diberikan kepada saya lumayan sekali pun, saya minta maaf. Saya lebih memfokuskan pada jalan cerita dan juga watak yang boleh menyumbang manfaat kepada penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, Syazani sedar akan statusnya sebagai pendatang baharu yang masih hijau dalam lapangan seni lakon.

“Saya sedar masih baharu lagi dalam bidang seni. Namun, ini adalah prinsip saya. Saya masih lagi bersikap terbuka dan menganggap perkara itu sebagai satu peluang keemasan, lebih-lebih lagi jika dapat bekerjasama dengan pengarah dan penerbit berpengalaman.

“Saya sudi untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, tidak kira sama ada pengarah baharu atau lama.

“Saya percaya, masing-masing dapat mengambil dan belajar pengalaman baharu bukan,” jelasnya.

Selain Sazali Meor Coco #TetiberUtuber, Syazani turut terbabit dalam beberapa naskhah antaranya Ceroboh (Netflix), Kabus (Astro) dan Bilik Tepi (Viu).

Manakala lima filem lain bakal ditayangkan, Tafakur (terbitan Stelo Entertainment, Sasqia Dahuri), Angkat (terbitan FEISK Productions, arahan Feisal Azizuddin), Seledangs & Shotguns, Send Tudes dan This Land of Mine. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok