USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri ‘naik hantu’ apabila lagu raya yang patut dirakamkannya berjudul Chu Kuca Raya 2024 dinyanyikan sebuah kumpulan muzik tidak dikenali.
Menerusi hantaran dimuat naik Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman dalam Instagram, dia mendedahkan mengalamai kerugian besar selepas membayar wang sebanyak RM15,000 kepada komposer terlibat, namun tidak mendapat hasilnya.
“Saya memang tak akan halalkan orang yang ambil dan meniru konsep. Cuba meniru saya, ambil gaya saya, suara saya dan penari saya.
“Ingat ya, lagu ini tidak akan meletup. Saya reda, walaupun dah bayar pada komposer sebanyak RM15,000. Bukan sikit ya, banyak bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff yang pernah keluar dengan single raya berjudul Chu Ku Chuk Raya tahun lalu, yakin bahawa lagu raya Chu Kuca Raya 2024 tidak akan tular kerana bukan dinyanyikanh penyanyi hebat sepertinya.
“Semua orang tahu, suara saya tiada tandingan. Orang tetap nak suara penyanyi yang hebat macam saya.
“Orang tetap nak dengar suara saya sebab saya penyanyi nombor satu Malaysia. Untuk pihak sana, bolehlah berhenti berangan,” kongsi Aliff.
Aliff, 37, berkata, dia tidak akan berputus asa untuk melakukan yang terbaik, malah tidak kisah jika lagu rayanya ‘dicuri’ penyanyi lain, kerana mendakwa ramai lagi komposer yang mahu bekerjasama dengannya.
“Saya tetap dengan pendirian saya untuk buat yang terbaik. Biarlah orang nak ambil lagu saya. Berlambak lagi komposer lain yang mahu beri lagu pada saya,” tegasnya.
Aliff mendedahkan tidak akan melancarkan lagu raya tahun ini akibat menjadi mangsa penipuan komposer, Amy Ukays yang enggan lagi bekerjasama dengannya untuk menghasilkan lagu raya.
Menurutnya, lagu yang sepatutnya dilancarkan Aidilfitri tahun ini sudah menjadi milik orang lain dan perkara tersebut membuatkan hatinya remuk.
Terdahulu, Aliff tidak pernah gagal meluncurkan lagu raya yang mendapat kritikan ramai menerusi single berjudul Chu Ku Chuk Raya tahun lalu, Kelepok Raya (2022) dan Lala Raya (2021). – HIBGLAM