Suami Adira jadi model baju Melayu

RAYUAN terbuka suami penyanyi Adira, Datuk Red agar diberikan pekerjaan didengar pengurusan sebuah gedung pakaian popular.

Kata pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu, dia ditawarkan menjadi model baju Melayu yang bertanggungjawab mempromosikan pakaian digayakan serta pusat beli belah berkenaan.

Bismillah. Terima kasih kerana beri peluang dan beri kerja yang tidak disangka-sangka,” kongsinya menerusi hantaran video di Instagram.

Menerusi hantaran sama, bapa kepada 11 cahaya mata daripada tiga perkahwinan itu turut meminta maaf kerana masih kekok beraksi dalam video promosi.

Maaf, saya pertama kali jadi model. Terima kasih berkongsi rezeki dengan saya yang tidak seberapa ini,” tulisnya lagi.

Dalam video dikongsi di aplikasi TikTok, Datuk Red menunjukkan beberapa gayanya berbaju Melayu rona coklat cair lengkap bersongkok.

Sebelum itu, lelaki berusia 43 tahun terbabit turut berkongsi detik ke gedung berkenaan dengan menaiki motosikal kapcai.

Selain model baju Melayu, lelaki terbabit juga dilihat sudah memulakan kerja promosi bagi jenama kambing perap terkemuka.

Difahamkan, banyak tawaran lain diajukan kepadanya termasuk sebagai pelakon tambahan.

Baru-baru ini bekas ahli perniagaan yang diisytiharkan muflis pada 2019 itu secara terbuka mendedahkan sedang mencari pekerjaan bagi menyara keluarga dan melunaskan hutang.

Menurutnya, selepas muflis dia tidak bekerja selama lima tahun  dan mengakui dirinya ditanggung isteri kedua iaitu Adira.

Begitupun, penyanyi berkenaan telah memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor pada 25 Oktober tahun lalu.

Manakala isteri pertamanya, Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafila memfailkan perceraian awal tahun ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok