‘Sorok’ anak, isteri cara Rosyam Nor lindungi keluarga

PELAKON dan penerbit, Datuk Rosyam Nor mengakui prinsip melindungi keluarga dengan cara tidak mendedahkan wajah mereka sejak dulu berbaloi apabila isteri serta anak-anaknya dapat menjalani kehidupan biasa.

Kata pemilik nama lengkap Mohamed Noor Shamsuddin, 57, itu dia tetap berpegang dengan pilihan enggan berkongsi gambar insan kesayangan andai Instagram atau TikTok wujud pada awal pembabitannya di arena lakonan.

Memang sejak dulu saya minta media tidak rakamkan gambar ketika bersama ahli keluarga dan mereka pun hormati permintaan ini kerana memahami niat saya.

“Ada saja saya bawa anak isteri keluar, cuma bukan kongsikan foto dengan khalayak sampailah wujudnya era media sosial, pendirian saya tetap sama. Saya yang jadi pelakon, biarlah anak-anak jalani hidup macam budak lain.

“Bahkan, kalau ada media sosial pada era saya dulu pun saya tetap dengan prinsip tak kongsi wajah ahli keluarga,” katanya selepas perasmian Meriahnya Raya bersama PKNS, di Datum Jelatek, baru-baru ini.

Menurut Duta Keusahawanan PKNS itu, sebelum ini pernah sekali dua dia memuat naik gambar bersama cucu sulung yang disifatkan sebagai perkongsian kegembiraan bergelar seorang datuk.

Katanya, selepas itu laman sosialnya kembali kepada perkongsian berkaitan kerjaya seni, aktiviti harian, bisnes Rosyam Mart serta promosi pembabitan sebagai wajah beberapa jenama.

Ini cara saya, artis lain tak perlu pun ikut atau tak bermakna pilihan saya ini saja yang betul. Kongsi atau tidak terpulang kepada diri masing-masing.

“Adalah sekali dua saya masukkan gambar cucu pertama. Datuk mana tak gembira dianugerahkan cucu penyambung generasi? Selepas itu sudah tak ada saya kongsi,” ujarnya.

Mengakui keterbukaan dunia tanpa sempadan, Rosyam yang mengendalikan podcast dinamakan Hitam Putih Kehidupan juga sentiasa sedia berdepan teguran mahupun komen.

Katanya, semua individu masa kini umpama mempunyai ‘akhbar’ sendiri yang memberikan mereka hak untuk melontarkan kritikan atau kecaman terhadap mana-mana pihak terutama golongan selebriti.

Boleh dikatakan semua orang sekarang ada ‘surat khabar’ sendiri iaitu media sosial dan kerana tiada tapisan, semua berisiko berdepan kecaman.

“Susah kalau artis nak komen baik-baik saja, saya pun tak terkecuali berdepan kecaman, jadi apabila kita sedia berkongsi apa jua perkara dalam media sosial, kena juga bersikap reda,” ulasnya.

Berkenaan pembabitan dengan karnival Meriahnya Raya bersama PKNS, bintang filem Kabali itu memperuntukkan masa sekitar sejam mengunjungi gerai jualan hari raya di Datum Jelatek.

“Saya diminta berkongsi tips kepada peniaga yang menyertai bazar di pusat beli belah ini, malah hari ini saya sedia bantu mereka menggunakan saya bagi mempromosikan produk dijual,” tambahnya. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok