Sherry Ibrahim ‘puasa’ muzik lepas balik umrah

KESANTUNAN pelakon berhidung mancung itu tetap sama. Dari zamannya sebelum berhijab, sehinggalah mengambil keputusan untuk menutup aurat sekitar lapan tahun lalu, penampilan sopan dan keayuan pemilik nama pentas, Sherry Ibrahim tidak pernah luntur.

Tutur katanya tersusun lembut, malah butiran kata yang terlantun dari bibirkan sedap didengar.

Mungkin latar belakangnya sebagai bekas pramugari mendidik Sherry untuk bercakap dengan penuh sopan.

Senyuman yang tidak pernah lekang dibibirnya membuatkan sesiapa sahaja yang berbual dengannya berasa cukup senang.

Pertemuan HibGlam dengan pemilik nama sebenar Syarizad Ibrahim itu semasa Anugerah Telenovela 2023, baru-baru ini sebenarnya hampir membuatkan dia menitiskan air mata.

Wajah Sherry yang pada awalnya ceria ketika bercerita tentang perkembangannya terkini, tiba-tiba bertukar hiba apabila berkongsi tentang perniagaan salun rambut yang diusahakan terpaksa ditutup pada sekitar tahun lalu, selepas lima tahun beroperasi.

Tutup salun

Dalam nada sebak, pelakon berusia 41 tahun itu memberitahu terpaksa menutup perniagaan salun rambutnya yang terletak di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur, selepas berdepan beberapa masalah.

“Sebenarnya salun yang saya usahakan sejak lima tahun lalu telah pun ditutup. Saya tidak pernah cerita tentang perkara ini kepada umum.

“Saya usahakan salun berkonsepkan Muslimah itu seorang diri. Keputusan pahit itu terpaksa dibuat selepas saya telah cuba untuk bertahan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Pelbagai masalah timbul antaranya sewa kedai, sebelum saya terpaksa mengambil keputusan berat untuk menutup perniagaan tersebut,” katanya menahan sebak.

Sedih perniagaan salun rambutnya terpaksa ditutup, Sherry bagaimanapun lega apabila bekas pekerjanya diberhentikan dengan cara betul dan telah mendapat pekerjaan di tempat lain

Mengakui sedih dengan keputusan yang dibuat, Sherry bagaimanapun reda dan akur atas apa yang berlaku.

Malah, apa yang berlaku mengajar Sherry tentang cabaran berniaga dan kena sentiasa bersabar berdepan dengan jatuh bangun dalam dunia bisnes.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa sebab terlalu sedih. Namun saya percaya ada hikmah yang telah disusun Allah SWT dan kena percaya rezeki-Nya.

“Apa yang saya belajar, kita kena sentiasa bersabar. Saya kena faham, menjalankan perniagaan ada fasa jatuh bangunnya.

“Sebagai pengusaha, saya kena yakin bahawa apa yang berlaku bukanlah kerana sebuah kegagalan. Sebaliknya itu adalah proses pembelajaran. 

“Alhamdulillah, saya okey dan tenang. 

“Insya-Allah ada benda baharu yang akan saya usahakan selepas ini,” katanya kembali mengukir senyuman.

Jaga solat

Menyentuh tentang perubahan selepas lapan tahun mengambil keputusan untuk berhijab, pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan itu tidak teragak-agak mengakui bukan mudah untuk dia kekal istiqamah.

SHERRY tidak pernah mengumumkan untuk berundur daripada bidang seni dan masih lagi aktif dalam bidang lakonan yang menjadi karier kecintaannya.

Lebih sukar lagi apabila dia masih lagi berada dalam lapangan dunia hiburan. 

Namun rasa itu berubah selepas dia diberikan peluang untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci pada penghujung tahun lalu.

Jelas Sherry, dia mengambil masa selama dua bulan selepas pulang dari mengerjakan umrah untuk muhasabah dan membiasakan diri untuk melakukan perubahan dalam hidupnya, seperti mengejar waktu solat.

“Saya akui untuk kekal istiqamah bukan mudah, lebih-lebih lagi saya masih berada dalam bidang seni. 

“Jujur saya cakap, selepas pulang dari Tanah Suci, banyak perubahan yang saya lalui.

“Selama dua bulan saya berehat dan tidak ambil sebarang tawaran berlakon sebab saya mahu muhasabah diri.

“Saya ambil masa selama dua bulan untuk seimbangkan kehidupan saya di dunia dan di akhirat, contohnya waktu solat. 

“Selama tempoh itu juga, saya tidak boleh dengar muzik.

“Sebab rasa muzik itu terlalu bising untuk saya. Saya juga jadi malu untuk lakukan perkara-perkara yang biasa saya buat sebelum ini. 

“Jadi selepas pulang dari mengerjakan umrah, saya sehabis baik ingin menjaga solat,” jelasnya.

Batas dan syarat

Berbalik soal istiqamah, Sherry menjelaskan semuanya bermula dengan hati dan apa yang penting, semua itu dilakukan kerana Allah SWT bagi memenuhi tuntutannya sebagai wanita beragama Islam.

Begitu juga dengan batas yang ditetapkan ketika berlakon. Ujarnya, sejak mengambil keputusan untuk berhijab, Sherry meletakkan syarat untuk tidak lagi bersentuhan dengan pelakon lelaki.

“Saya akan elak babak bersentuhan dengan lelaki. Kalau perlu sekali pun, sentuhan itu kena berlapik untuk adegan-adegan tertentu sahaja seperti diculik atau dipukul.

PERKARA utama yang dilakukan Sherry demi istiqamah ke jalan Allah adalah mengejar waktu solat.

“Pengarah faham dengan permintaan saya dan boleh menerimanya,” ujar Sherry.

Sedih apabila ada segelintir artis yang ‘tewas’ selepas berhijab, Sherry sempat menitipkan nasihat dengan meminta masyarakat supaya tidak menghukum sebaliknnya mendoakan yang baik-baik sahaja.

“Untuk artis lain yang berhijab, namun tiba-tiba timbul rasa berbolak-balik, dia doakan yang baik-baik untuk mereka. Saya sedih sebenarnya.

“Namun kita tidak boleh salahkan mereka, sebab kita tidak tahu dan rasa apa yang mereka lalui. Sebagai manusia, sentiasalah berdoa kepada Allah,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok