TIDAK membiarkan permata hati menempuh kontroversi bersendirian, ibu kepada pelakon, Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza Basharahil dilihat tegar di sisi anak sulungnya itu.
Malah wanita terbabit turut menzahirkan kata-kata semangat agar Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 33, tidak putus harapan.
Dalam setiap kesukaran pasti akan dipermudahkan,” tulisnya ringkas pada hantaran video dalam Instagram Story.
Dalam paparan tersebut tampak mereka sudah selesai solat berjemaah dan anaknya itu duduk atas sejadah sambil membacakan doa.
Turut kelihatan dalam video berkenaan adalah seorang lelaki yang dipercayai suaminya, Aziz Sapdan.
Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada mereka bertiga bertemu di Kuala Lumpur atau Aliff pulang ke Singapura kerana latar bilik berkenaan seperti di sebuah hotel.
Selepas pelakon dan penyanyi itu ditangkap khalwat dengan rakan artis, Ruhainies pada 9 Mac lalu, Hafiza tidak memberi sebarang respons.
Namun hantarannya dalam laman sosial sebelum ini mengundang perhatian apabila berkongsi kata-kata mengenai doa penawar terbaik andai seseorang berdepan masalah.
Dalam hantaran lain pula, dia memuat naik potongan ayat berbunyi: “Aku malu saat dianggap baik padahal aku seorang pendosa hebat, hanya saja Allah sedang menutupi aibku.”
Perkongsian tersebut mendapat maklum balas netizen yang rata-rata memintanya tidak terlalu menyebelahi anak sendiri.
Memang perbuatan salah tapi berhentilah menafikan perkara sebenar dan berhenti menyebelahi anak kalau dia bersalah,” kata netizen.
“Sudah terang lagi bersuluh. Baik makcik diam dari ‘post’ apa-apa. Jangan disimpan sangat kesalahan Aliff, bukan sekali Aliff buat hal,” tulis pemilik akaun lain.
Terdahulu, Aliff sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika berdua-duaan di kediaman teman gandingan dalam drama Terjerat pada 9 Mac lalu.
Masing-masing kemudian menafikan mempunyai hubungan, sebaliknya tujuan masuk ke rumah Ruhainies kerana diundang makan malam bersama-sama ahli keluarga pelakon terbabit.
Isterinya, Bella Astillah kemudian nekad memfailkan permohonan cerai selepas beberapa kali mengakui telah memberikan banyak peluang kepadanya.
Aliff dan Bella yang mempunyai dua anak pernah bercerai pada Mei 2019 namun rujuk semula pada tahun sama ketika masih dalam tempoh idah. – HIBGLAM