Seksi saya bukan melampau – Azira Shafinaz

MEMULAKAN langkah bersama kumpulan De Fam,  kembara seni si cantik Azira Shafinaz terus mekar mewangi.

Semuanya boleh dikatakan serba ‘menjadi’ apabila wanita berusia 31 tahun itu dilihat bijak membawa diri dalam dunia seni yang sememangnya penuh dengan sepak terajang.

Apabila mengecapi kejayaan dan kian popular, pasti ada sahaja suara-suara sumbang melantun kepadanya, terutama yang mempertikai penampilan seksinya.

Meskipun pemilihan pakaian pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan, 33, tidak begitu ‘terdedah’ seperti sesetengah selebriti lain, dia tetap dikecam.

Bagi Azira, segala komen netizen mengenai dirinya diterima dengan berlapang dada dan dia cuba untuk memperbaiki diri dari hari ke hari.

“Sudah semestinya saya belajar dan ambil yang positif dari apa yang netizen cakap. Mulut mereka saya tidak boleh tutup tapi, saya akan cuba untuk perbaiki.

“Setakat ini, alhamdulillah. Seksi saya bukanlah melampau. Pakaian saya tidak terlalu menonjol tapi saya akan pakai apa saya selesa dan bersesuaian,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

“Saya tidak rimas pun orang kritik. Saya rasa kita akan tegur sesama sendiri juga kalau ada salah silap,” jawabnya lagi.

SEBAGAI wanita yang menawan, Azira dipilih sebagai duta kepada jenama Rizman Ruzaini untuk Raya 2024 Couture Collection.

Tolak tepi hal peribadi, Azira kini boleh dikatakan antara selebriti wanita yang tidak putus-putus menerima tawaran dalam cabang seni terutama lakonan.

Disebabkan itu, bulan Ramadan kelak Azira akan memberikan fokus lebih dalam kerjayanya lebih-lebih lagi De Fam akan melancarkan lagu raya pertama.

“Perancangan puasa setakat ini memang belum ada kerana saya akan bekerja bermula 8 Mac sehingga April kelak. Saya akan sibuk dengan penggambaran dan promosikan kerja.

Saya akan fokus dalam penggambaran drama bersama Astro yang masih tidak boleh dedahkan mengenai naskhah tersebut.

“Raya kali ini juga istimewa kerana De Fam bakal melancarkan lagu raya pertama kami selain filem Sheriff lakonan saya turut akan ditayangkan pada raya keenam,” kongsinya teruja.

SELAIN lakonan, Azira turut berkongsi berita gembira buat peminat De Fam apabila bakal muncul dengan single hari raya buat pertama kali dalam karier mereka.

Ditanya mengapa memilih tahun ini untuk melancarkan single raya, pelantun lagu SuperGirls itu menjelaskan, mereka bertiga tidak sempat menyiapkan karya tersebut tahun lalu kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Sebenarnya, kami sudah siapkan lagu ini pada 2023 tetapi tidak sempat untuk keluarkan.

“Tahun ini kami usahakan untuk lancarkan raya ini dan kami juga sudah siapkan video muzik. Insya-Allah lagu tersebut bakal menemui peminat sebelum puasa,” ujarnya.

Sementara itu, anak jati Kuala Lumpur itu tidak melepaskan peluang berkongsi berita gembira berjaya menembusi pasaran luar negara setelah mengenggam trofi pada Asian Academy Creative Awards pada tahun lalu.

“Tahun lepas saya menang trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk drama komedi di Asian Academy Creative Awards dan terus menerima banyak tawaran tahun ini.

Kalau tiada halangan, saya akan bekerja dengan produksi luar dan perkara tersebut masih dalam perancangan.

“Memang impian saya untuk berlakon selain produksi Malaysia. Kalau ada rezeki di sana, mengapa tidak untuk cuba selagi boleh keluar dari zon selesa,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok