Saya takkan rayu Malique, ini kisah saya – Joe Flizzow

MENGAPA saya perlu merayu Malique untuk buat dokumentari ini?”

Demikian respons penyanyi Joe Flizzow mengenai penghasilan dokumentari autobiografinya berjudul This Is Johan yang disifatkan tidak memerlukan kerjasama Malique selaku rakan duonya dalam Too Phat satu ketika dahulu.

Pemilik nama sebenar Johan Ishak, 45, itu menegaskan, dia tidak mencari Malique sebelum ini kerana menghormati keputusan penulis lirik terkenal itu untuk bergerak secara solo dan hanya berada di belakang tabir.

“Saya tidak menghubungi dia (Malique) sebab tahu tak ada gunanya pun, jawapan dia tetap sama.

Ramai lagi orang mencari dia untuk minta macam-macam perkara. Saya hormati keputusan dia yang enggan lagi bersama Too Phat, jadi kenapa saya perlu merayu dia menjayakan dokumentari ini.

“Lagipun, ini bukan cerita dia walaupun dia sebahagian daripada itu. Ini kisah saya,” kata Joe kepada HibGlam ketika sidang akhbar dokumentari autobiografi This Is Johan.

Penyanyi yang terkenal dengan julukan Mr President itu juga berharap tidak timbul sebarang kontroversi sekiranya dokumentari itu ditonton Malique atau nama sebenarnya, Cairel Adrin Ibrahim kerana hanya dia yang berusaha memastikan Too Phat terus relevan.

“Saya harap awak (Malique) gembira. Sejujurnya, siapa yang masih menghidupkan nama Too Phat? Hanya saya.

Saya tidak nampak keperluan untuk marah apabila dokumentari ini diterbitkan. Sekurang-kurangnya saya masih memikirkan Too Phat.

“Malah, saya tidak nampak orang lain boleh melakukan perkara sama,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Too Phat ditubuhkan Joe dan Malique pada 1998 sehingga terkenal gah di pentas antarabangsa khususnya rantau Asia.

Bagaimanapun, kejayaan mereka tidak lama apabila memilih membawa haluan masing-masing dengan meneruskan kerjaya solo pada 2007 tanpa sebarang alasan. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok