Saya single! – Amelia Christie

PELAKON Amelia Christie akhirnya mengesahkan dirinya kini ‘single’ bagi mengelakkan khalayak terus tertanya-tanya mengenai hubungannya bersama aktor Sharnaaz Ahmad.

Ujar pelakon baharu berusia 24 tahun itu, dia terbuka menjawab pertanyaan netizen soal hati memandangkan dirinya kini bukan lagi bergelar kekasih orang.

Saya single. Jangan risau, saya okey dengan pertanyaan netizen. Lagipun saya kena beritahu orang yang saya memang single,” katanya menerusi video temu bual dengan wakil satu jenama tudung.

Ditanya ciri-ciri suami idaman, pelakon drama Gamers Mangkuk itu berkata, dia cenderung memilih lelaki budiman, bertanggungjawab dan sopan.

Lelaki idaman saya adalah seorang yang bertanggungjawab, sopan santun dan baik hati,” ujarnya ringkas.

Semakan HibGlam menerusi ruangan komen video tersebut mendapati majoriti netizen menasihati Amelia supaya mencari lelaki yang benar-benar ikhlas selain sudah melupakan kisah lalu.

“Cari lelaki yang sesuai dengan awak Amelia. Awak cantik dan baik, cari yang bujang, berlambak mahukan awak,” komen seorang netizen.

Kalau boleh carilah bakal suami yang sudah melupakan masa lalunya. Susah cari lelaki yang rapat dengan bekas isteri atas tiket anak tetapi sebenarnya masih menyimpan perasaan,” demikian komen pengguna media sosial itu.

Terdahulu, timbul dakwaan hubungan pelakon berkenaan dengan Sharnaaz telah putus di tengah jalan apabila mereka  tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Menerusi temu bual HibGlam bersama Sharnaaz sebelum ini, aktor itu memilih untuk tidak memberikan sebarang komen, sebaliknya memberitahu hubungan mereka dalam keadaan baik selain ingin fokus terhadap karier dan anak lelaki tunggalnya.

Bagaimanapun, kenyataan hero filem Jebat itu mengundang rasa kurang senang netizen yang menyifatkan aktor itu mempermainkan hati Amelia.

Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila Mohd Noor pada Mac 2017 namun bercerai Julai 2020.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Jebat Jayden yang kini berusia 6 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok