SELEPAS empat bulan berhempas pulas di set penggambaran dan filem, pelakon Amir Ahnaf memutuskan untuk berehat sepanjang Ramadan.
Amir atau nama lengkapnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, berkata, ini masa paling sesuai untuknya merehatkan diri dan hanya terikat dengan komitmen sebagai duta baju Melayu.
“Bulan Ramadan ini saya cuti sepenuhnya. Saya hanya fokus sebagai duta Elrah. Sebelum ini saya kerja kuat memenuhi tawaran yang disua pelbagai pihak.
Saya layak dapat cuti sebulan sebab saya juga manusia biasa yang perlukan rehat.
“Lebih-lebih lagi selepas empat bulan bekerja tanpa henti, jadi saya layak untuk berehat sepanjang Ramadan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang bulan mulia ini, pelakon Projek High Council itu berkata dia hanya fokus melakukan ibadah selain memanfaatkan masa dengan membaca.
Sebenarnya sudah lama saya tak baca buku. Dulu saya suka membaca, jadi apabila ada masa terluang ini, saya nak baca buku.
“Macam-macam saya baca seperti cerita jenayah, fantasi sebab nak tambah pengalaman dan visual sebagai seorang pelakon.
Semua itu menjadi nilai tambah kepada saya untuk lebih mahir dalam melontarkan dialog dan penjiwaan,” tuturnya panjang lebar.
Paling utama kata Amir, Ramadan adalah masa yang sesuai untuk muhasabah diri dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta sebelum kembali aktif bekerja selepas lebaran nanti.
Dalam perkembangan lain, Amir merupakan salah seorang duta pakaian Elrah Exclusive.
Meraikan ulangtahun ke-10 penubuhannya, jenama pakaian Elrah Exclusive tampil menghasilkan filem pendek berjudul Mak yang melibatkan ramai artis besar termasuk Amir.
Naratif filem yang sangat menyentuh hati ini berkisahkan perjalanan seorang remaja bernama Hilmi, yang mendambakan belaian dan kasih sayang ibunya.
Filem “Mak” menjalinkan kisah kerinduan seorang anak dan harapan ibu yang tidak berbelah bahagi.
Melalui penceritaan yang menyentuh hati ini, El Azman mengharapkan penonton dapat merasai kerumitan emosi dalam ikatan kekeluargaan dan kuasa kasih sayang seorang ibu yang kekal abadi.
“Filem ini adalah kisah tentang diri saya, siapa kita dahulu tidak semestinya menentukan kita hadapan.
“Mesej yang hendak disampaikan dalam filem ini ialah siapakah diri kita hari ini bukanlah kerana diri kita sahaja, tetapi doa dari orang lain terutamanya mak ayah.
“Hargailah peluang itu selagi kita masih ada mak ayah dan sayangilah mereka,” katanya.
Filem pendek ini akan mula ditayangkan pada 27 Mac di saluran YouTube dan semua platform sosial media.- HIBGLAM