Saya belum sampai mana-mana ‘level’ – Nabila Huda

“SAYA yakin bahawa saya seorang pelakon yang versatil.”

Berbunyi tegas, namun itulah penyataan yang terbit dari bibir pemilik nama lengkap, Nabila Huda Suhaimi atau nama pentasnya, Nabila Huda menjawab isu penampilan kininya yang sudah sinonim menjayakan watak ‘mak-mak’ atau wanita berusia.

Anak kepada legenda rock tanah air, Amy Search itu tidak mahu pusing memikirkan tanggapan sebilangan peminat bahawa dia sekarang semakin menua dan tidak layak memainkan peranan anak remaja seperti awal kemunculan, suatu ketika dahulu.

Nabila percaya kehidupan ibarat roda dan tiada apa yang perlu dibimbangkan, melainkan terus menderas langkah memberikan komitmen terbaik dalam pekerjaan.

“Saya boleh jadi tua, boleh jadi remaja dan pelbagai karakter. Sebagai pelakon, saya nak mencuba karakter yang bersifat pelbagai.

“Sebab ini adalah kerja kita. Jangan pernah rasa hanya kerana kita diberikan kepercayaan bawa watak ‘mak-mak’, rezeki kita sudah tiada dalam bidang ini.

Secara realitinya, sekarang saya sudah berusia 40 tahun. Memang saya akan bawa watak sebegitu andai dipertanggungjawabkan pengarah atau penerbit.

“Ada juga karakter saya jayakan statusnya ‘belum berkahwin’ macam dalam Budak Flat,” ujarnya kepada HibGlam.

NABIlA bersama barisan pelakon drama bersiri Lelaki Itu (dari kiri) Hannah Delisha, Sophia Albarakbah, Nadia Brian, Sarimah dan Nur Fazura.

Muncul dengan watak Salina menerusi drama rantaian terbaharu slot Samarinda TV3 berjudul Lelaki Itu, Nabila atau mesra dengan panggilan Abil berkata, naskhah berkenaan menuntut dirinya bermain banyak adegan air mata.

“Kalau kerja dengan Erma Fatima, memang dia akan ‘offer’ saya watak-watak berat. Untuk menangis sepanjang hari, itu memang saya dah biasa. Selalu bawa watak sebegitu.

Ada pengalaman sebelum ini ‘shooting’ dari 8 pagi sampai 4 pagi (keesokan harinya), menangis sahaja tak berhenti.

“Untuk saya sebagai seorang pelakon, kita kena pandai ‘bajet’ air mata kita (ketawa). Jangan gunakan terlalu berlebihan. Menangis ada banyak jenis, tak semestinya kena meraung.

Kena pandai seimbangkan adegan dan rancang sesesebuah watak. Untuk drama berepisod macam Lelaki Itu, babak sedih ada graf. Tak bolehlah baru episod tiga sudah meraung.

“Perlahan-lahan untuk bagi mood sampai kepada audiens,” ujarnya.

Disamakan dengan aktres legenda seperti Allahyarham Neng Yatimah dan Allahyarham Azean Irdawaty yang terkenal dengan watak air mata, Abil merendah diri seraya menjawab: “Saya tak pernah rasa sampai ‘level’ mana-mana pun.

Saya tetap rasa, banyak benda perlu dipelajari dan bahkan, saya masih belajar. Tengok kualiti dan komitmen pelakon-pelakon senior, terdetik, masih jauh perjalanan saya.” katanya.

Baca artikel penuh di Kosmo! Online atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok