Saya, Aliff hanya kawan – Ruhainies

PELAKON Ruhainies menegaskan maklumat yang tersebar mendakwa dia dan Aliff Aziz membiarkan pihak berkuasa menunggu selama tiga jam dalam serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada Sabtu lalu adalah tidak benar.

Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyah, pihak terbabit hanya menunggu setengah jam sebelum pintu kediaman terbabit dibuka.

Selama 30 minit bukan tiga jam. Semua yang berlaku bukanlah seperti yang digembar-gemburkan dan tidak berlarutan selama tiga jam pun.

“Apabila dakwaan tidak tepat dikeluarkan, lebih banyak spekulasi dicetuskan oleh orang ramai,” katanya.

Meleraikan persoalan, pelakon berusia 32 itu juga itu bertegas, hubungannya dengan Aliff bukan seperti disangka, namun hanyalah sebagai kawan dan persahabatan mereka sudah terjalin sejak 10 tahun lalu.

“Saya dan Aliff hanya kawan dan kami dah kenal satu sama lain sejak 10 tahun lalu.

Kini, kami berkawan dan dilihat kerap bersama kerana sedang menjalani penggambaran drama bersiri Terjerat.

“Apa pun, saya akan jelaskan secara terperinci dalam kenyataan rasmi yang akan diberikan kelak,” ujarnya.

Sejak Sabtu lalu, akaun media sosial Ruhainies dibanjiri dengan kecaman dan kata-kata negatif netizen selepas tular laporan ditangkap khalwat bersama hero gandingannya menerusi drama Terjerat.

Pasangan yang dicekup Jawi atas tuduhan berkhalwat itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sementara menanti pendakwaan di mahkamah syariah dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Aliff dan Ruhainies ada mengeluarkan kenyataan serentak dalam akaun media sosial masing-masing meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi tidak benar termasuk menidakkan dakwaan mereka ditangkap basah pada hari kejadian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok