DIHIMPIT kontroversi seiring caci maki netizen, pelakon Ruhainies menzahirkan yang dialami dengan memuat naik hantaran doa dalam Instagram Story miliknya.
Hantaran tersebut merupakan petikan karangan doa yang memohon kepada Tuhan supaya melembutkan hati manusia.
“Ya Allah, andai ada hati yang memandangku dengan kebencian, maka lembutkanlah hatinya. Andai ada hati yang terluka kerana sikap dan lisanku, maka sembuhkanlah sakitnya.
“Andai ada hati yang ingin menyakitiku, maka hindarilah. Aku tidak mampu mengubati atau menyenangkan hati siapa pun kerana hatiku dan hati mereka adalah milik-Mu.
“Dan hanya Engkau yang mampu mengaturnya,” demikian kandungan hantaran tersebut.
Perkongsian berkenaan kemudian dimuat naik semula netizen dalam platform media sosial seperti X, sekali gus mengundang pelbagai hinaan.
Beradakan dramatis itu sedang melalui fasa terendah dalam hidup, ramai netizen menyifatkan apa yang dihadapi pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas adalah natijah perbuatan sendiri.
“Munafiknya, masa buat jahat tidak pula kau ingat tentang lembutkan hati orang, belajar daripada kesilapan dan jangan ulanginya lagi,” komen netizen.
“Apa yang awak hadap sekarang adalah kifarah atas apa yang awak lakukan, awak sudah hancurkan rumah tangga orang, takkan awak nak orang tepuk tangan?,” soal netizen yang lain pula.
Terdahulu, nama pelakon asal Pulau Pinang itu menggelegak gara-gara kes khalwat dengan hero gandingannya menerusi drama Terjerat, Aliff Aziz yang juga suami kepada rakannya, Bella Astillah.
Selepas insiden 9 Mac lalu, Ruhainies terus mencuri tumpuan netizen dalam media sosial sementelah dia dilihat memberi tanda ‘like’ pada posting yang dimuat naik ibu Aliff Aziz dalam Instagram.
Selain Ruhainies, ibu Aliff Aziz iaitu Hafiza dilihat kerap memuat naik perkongsian doa dalam Instagram Story yang disifatkan netizen ‘terpaling suci’. – HIBGLAM.