Rezeki tak pernah salah alamat – Salma Asis

MEMILIKI listrik vokal padu, bahkan tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam mana-mana pertandingan, namun populariti penyanyi Salma Asis bagai tersekat di satu aras.

Walau tiada sesiapa mempertikaikan kredibiliti persembahannya terutama dalam membawakan seleksi lagu bernada tinggi, anak jati Sabah itu yakin masa untuknya ‘melonjak’ bakal tiba.

Enggan menyerah, Salma kini kembali dengan single terbaharu berjudul Atas Nama Cinta yang diyakini mampu mengukuhkan lagi namanya di persada muzik tanah air.

Lagu ciptaan bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli menjadi taruhan penyanyi berusia 33 tahun itu untuk memahat posisi ampuh selepas hampir 13 tahun berjuang tanpa lelah.

“Sebelum Atas Nama Cinta, saya ada beberapa single tetapi kurang mendapat sambutan tetapi  saya percaya dengan rezeki yang tertulis seterusnya berusaha mencari karya baharu.

Sebaik mendengar lagu ini, terdetik di hati saya untuk merakamkannya berikutan keindahan komposisi irama digabung dengan lirik yang sangat puitis.

“Kali pertama mendengar demo dan menghayati bait lirik, saya seperti mahu menangis. Serius, sangat menyentuh perasaan sehingga terngiang-ngiang,” katanya.

SALMA berharap lagu baharu dapat membawanya kembali beraksi di pentas AJL selepas kali terakhir bolos dengan Akhirnya Cinta pada AJL32.

Pemilik nama lengkap Salmah Andi Asis, 33, itu menegaskan tidak pernah putus asa berusaha, bahkan percaya lagu terbitan Awal Muzik Entertainment dan CQ Music Malaysia mampu memberi kepuasan maksima terhadap peminat.

Malah, bakat yang dicungkil menerusi program Mentor musim kelima dan 3 Juara itu mengakui, pengalaman lalu banyak membantu melancarkan proses rakaman Atas Nama Cinta.

Berkongsi mengenai persediaan masuk studio, katanya semua perincian lebih kepada memahami melodi dan seni kata supaya dapat memberikan penghayatan terbaik.

“Mungkin dulu saya lebih memikirkan bagaimana untuk mencapai nota-nota tinggi ketika menyanyi, tetapi sekarang itu bukan lagi keutamaan.

Kini saya lebih fokus kepada penghayatan kerana mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian supaya impaknya lebih seimbang dan pada masa sama mampu menyentuh hati ramai.

“Mungkin transisi kematangan selain turut mengambil kira komen pendengar membuatkan saya semakin terbuka dalam berkarya,” ujarnya.

ENGGAN menyerah kalah, tumpuan Salma kini adalah fokus terhadap rangka promosi jelajah untuk bertemu pendengar.

Menurut Salma, lagu tersebut juga agak istimewa apabila pernah cuba dirakamkan beberapa penyanyi, tetapi tidak diterbitkan atas beberapa alasan.

Inilah yang dikatakan rezeki tidak salah alamat. Alhamdulillah apabila lagu ini sampai kepada saya semua proses berjalan dengan begitu baik.

“Cuma dari sudut susunan muzik, saya minta diubah sedikit untuk disesuaikan dengan cara penyampaian saya,” kongsinya yang berharap Atas Nama Cinta mampu bolos ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak lama lagi.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok